PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia diakui sebagai salah satu elemen penting dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Namun, usaha kerajaan untuk memperkasakan pendidikan TVET sering kali terbantut oleh masalah pengurusan dan permohonan yang berbelit-belit, terutamanya disebabkan oleh sistem pengendalian yang melibatkan pelbagai kementerian.
Hal ini bukan sahaja melemahkan usaha untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan TVET, tetapi juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Pendidikan TVET kini diuruskan oleh beberapa kementerian yang berbeza termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Setiap kementerian ini mempunyai program, dasar, inisiatif, institusi latihan masing-masing untuk pendidikan TVET.
Namun, fragmentasi ini telah menyebabkan kekeliruan dalam pengurusan dan pemantauan program TVET.
Ketiadaan satu badan penyelaras tunggal untuk menyelaras semua program TVET ini telah menyukarkan usaha kerajaan untuk memastikan standard dan kualiti pendidikan yang tinggi di seluruh negara.
Bagi pelajar yang berminat untuk menyertai program TVET, proses permohonan yang melibatkan pelbagai kementerian ini sering kali mengelirukan.
Setiap institusi di bawah kementerian yang berbeza mempunyai prosedur permohonan tersendiri, termasuk tarikh tutup permohonan, syarat kelayakan dan format permohonan.
Selain itu, ketiadaan satu portal permohonan pusat yang boleh memudahkan pelajar memohon ke pelbagai institusi TVET secara serentak juga menyukarkan proses ini.
Pelajar dan ibu bapa perlu melayari pelbagai laman web dan menguruskan permohonan secara berasingan dan memerlukan masa serta usaha yang banyak.
Ini bertentangan dengan matlamat asal TVET untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan relevan dengan keperluan industri semasa.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan dicadangkan untuk mewujudkan satu badan penyelaras tunggal yang akan menguruskan semua aspek berkaitan pendidikan TVET di Malaysia.
Badan ini perlu mempunyai kuasa untuk menyelaraskan dasar, kurikulum dan standard pendidikan TVET di seluruh institusi yang terlibat.