Cekak rambut bunga raya dapat permintaan tinggi

Iklan
Gubahan cekak rambut tersebut turut mendapat tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

BESUT - Seorang suri rumah dari Kampung Gong Duek di sini mampu meraih pendapatan kira-kira RM500 dalam tempoh dua minggu dengan menghasilkan cekak rambut bertemakan bunga raya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Siti Nur Natrah Yatimi Mohd Azmi, 35, berkata, hasil gubahannya itu mendapat sambutan hangat selepas dimuat naik di media sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia tidak menyangkakan alatan itu mendapat permintaan kerana pada mulanya ia dijual bagi mengumpul wang bagi membeli keperluan untuk anaknya menyertai pertandingan Hari Merdeka peringkat sekolah.

"Saya jual cekak ni sekadar suka-suka untuk kumpul sedikit duit lebih sebagai persediaan anak perempuan saya mengikuti sambutan hari kemerdekaan di sekolah.

Iklan

"Selepas muat naik di media sosial, tak sangka banyak tempahan yang masuk. Daripada situ saya mula mengambil tempahan.

"Untuk pelanggan dekat seperti di Jertih, saya buat COD (bayar tunai semasa serahan) akala yang berada di luar daerah dan negeri saya akan pos," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Iklan
Siti Nur Natrah menunjukkan cekak bertemakan bunga raya yang dihasilkan dan dijual secara dalam talian.

Siti Nur Natrah berkata, setakat ini dia telah menerima hampir 100 unit tempahan cekak rambut dengan pendapatan sekitar RM500.

Katanya, cekak tersebut dijual pada harga RM12 hingga RM22 bagi setiap satu unit mengikut jenis cekak yang dihasilkan.

"Saya memilih tema bunga raya dalam setiap gubahan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan kepada si pemakai.

"Saya juga menggunakan dawai berbulu berwarna warni bagi menggubah bunga raya sebagai perhiasan.

"Warna-warna yang terdapat pada jalur gemilang seperti biru, kuning, merah, serta putih turut digunakan sebagai simbolik terhadap bendera Malaysia," ujarnya.

Katanya lagi, gubahan cekak rambut tersebut turut mendapat tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sebagai seorang ibu, saya rasa bangga apabila dapat memupuk semangat kemerdekaan dalam diri anak-anak dengan cara tersendiri.

"Lebih manis, apa yang saya hasilkan ini menjadi pilihan untuk digayakan oleh mereka yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi," katanya.