Penyewa mengaku bersalah tikam pemilik rumah

Iklan
Tetuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin kerana menikam pemilik rumah yang disewanya dalam kejadian minggu lalu.

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin kerana menikam pemilik rumah yang disewanya dalam kejadian minggu lalu.

Mohd Shah Rizal Yang, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penoreh getah didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan pisau ke atas Muhammad Hairolnizam Osman, 44.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Lasah dalam daerah Sungai Siput Utara kira-kira jam 11 pagi pada 15 Ogos 2024.

Iklan

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary menawarkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan perlu melapor diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran.

Iklan

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah memohon jaminan paling minimum mengambil kira tertuduh yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM30 sehari.

Katanya, tertuduh yang masih bujang juga bersedia dengan syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan.

Majistret Nurul Asyifa kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.

Beliau turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Tertuduh telah ditahan pada hari sama kejadian selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Siasatan polis mendedahkan, kejadian sekitar jam 11 pagi itu berpunca daripada tunggakan sewa yang banyak dan mangsa meminta tertuduh agar mengosongkan rumah.

Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan hingga mangsa terkena tikaman pada belakang badan selain cedera lengan kanan ketika menepis pisau.

Mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sungai Siput.

Ringkasan berita:

  • Pengakuan Bersalah: Mohd Shah Rizal Yang, 40, mengaku bersalah menikam pemilik rumah yang disewanya.
  • Kejadian: 15 Ogos 2024 di Kampung Lasah, Sungai Siput Utara.
  • Pertuduhan: Didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan; boleh dihukum penjara hingga tiga tahun, denda, atau sebatan.
  • Motif: Pergelutan terjadi akibat tunggakan sewa, menyebabkan mangsa ditikam di belakang badan dan cedera di lengan kanan.
  • Jaminan: Tertuduh dibenarkan jaminan RM3,500 dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan melapor diri dua minggu sekali di balai polis.
  • Tarikh Sebutan: Kes akan disebut semula pada 21 Oktober 2024.
Dijana oleh AI