Lokasi bantuan MVM di Gaza dibom selepas agihan makanan

Iklan
SUKARELAWAN MVM melaksanakan agihan bantuan makanan kepada pelarian di kem Deir al-Balah, Gaza beberapa jam sebelum rejim membedil kawasan tersebut. Foto Ihsan MVM

PARA sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) di Gaza, Palestin berdepan detik-detik cemas apabila tiga biji bom disasarkan ke lokasi agihan bantuan makanan di kem Deir al-Balah.

Ketua Pegawai Operasi MVM, Muhammad Hasbullah Md Najib berkata, salah satu daripada bom yang dilepaskan itu telah jatuh kira-kira 40 meter dari dapur memasak mereka selepas beberapa jam mengagihkan bantuan kepada rakyat Palestin terjejas.

Iklan
Iklan

KEADAAN di sekitar kem Deir al-Balah, Gaza selepas menjadi sasaran rejim, beberapa jam selepas agihan MVM dilaksanakan di sana. Foto Ihsan MVM

Menurutnya, pada 6 Ogos lalu, wakil MVM di Gaza telah turun ke khemah perlindungan Bilal bin Rabah di Deir al-Balah bersama dengan makanan panas buat 5,000 orang hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui pihaknya.

Iklan

"Seramai 3,000 orang telah dibekalkan dengan makanan panas pada hari pertama agihan yang dilakukan di dapur tempat memasak.

Tambahnya, pasukan sukarelawan MVM selamat dalam kejadian tersebut namun pihaknya tidak dapat membayangkan jika mereka masih berada bersama penerima agihan makanan ketika itu.

Iklan

SEBAHAGIAN kanak-kanak mendapat bantuan agihan makanan di kem Deir al-Balah, Gaza. Foto Ihsan MVM

"Wakil kami termasuk jurukamera yang selamat dari nahas sempat merakam beberapa gambar keadaan selepas kejadian.

"Bayangkan warga di situ yang baru sahaja kami temui sewaktu agihan makanan sebelumnya,” ujarnya.

"Keadaan mereka amat teruk dan keperluan untuk hidup sentiasa di ambang kritikal.

"Kami memohon untuk mengutuk tindakan keganasan ini dan terus menyokong rakyat Palestin yang terperangkap dalam plot pembunuhan yang semakin menghampiri setahun ini.

"Kita mesti terus berjuang untuk dunia di mana tiada siapa yang perlu hidup dalam ketakutan dan di mana setiap manusia mempunyai hak untuk keselamatan, maruah serta keamanan,” rayunya.

MUHAMMAD HASBULLAH

Katanya, bantuan ini merupakan kali keempat dilaksanakan MVM dengan bantuan pertama merangkumi ubat-ubatan dan makanan dibuat pada Disember 2023.

Bantuan kali kedua dan ketiga yang merupakan bantuan iftar dan sahur Ramadan dibuat pada Mac dan April 2024.

Pihaknya berharap orang ramai terus memberikan sokongan kepada MVM dengan menyumbang kepada pihaknya bagi agihan bantuan seterusnya. Maklumat lanjut sumbangan boleh didapati di laman web www.mvm.org.my.