PKR Pahang gesa tindakan tegas terhadap Muhyiddin - Fuziah

Iklan
Fuziah

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang menuntut tindakan tegas diambil terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan ucapannya dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Fuziah Salleh berkata, ini bagi memastikan tiada lagi usaha untuk mengganggu gugat institusi diraja dan keharmonian negara.

Iklan
Iklan

"Kita mengesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan segera dan tegas ke atas Muhyiddin. Kita harap ia menjadi pengajaran penting pada semua pihak agar tidak berulang.

"Justeru, kita juga akan menggerakkan jentera parti bagi membuat laporan polis terkait ucapan Muhyiddin," katanya pada Isnin.

Iklan

Fuziah memberitahu, PKR kecewa dengan ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu ketika berkempen DUN Nenggiri apabila beliau secara terbuka mempertikai keupayaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, tindakan Muhyuddin mengheret institusi diraja dalam rancah politik tanah air adalah tindakan tidak bermaruah dan boleh disifatkan sebagai terdesak demi meraih undi serta cubaan untuk mengelirukan rakyat.

Iklan

Fuziah menambah, pembohongan ini secara tidak langsung menghina dan mempersoalkan kewibawaan institusi diraja di negara ini yang telah berdiri kukuh sejak sekian lamanya.

"Muhyiddin secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (Kaum, Agama dan Raja) yang boleh membawa kepada perpecahan dalam negara.

"Sebagai rakyat yang mendukung teguh Perlembagaan Malaysia dan telah berikrar taat setia kepada Rukun Negara seharusnya tidak mempersoalkan lagi perkara ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

"Perkara 43(2) menetapkan pula Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

"Maka dengan itu, PKR Pahang penuh yakin menyokong keputusan tersebut," katanya.