Gaji penjawat awam, LHDN jangka pembayar cukai bertambah

Iklan
Abu Tariq bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ops Metro 2024 di ibu pejabat LHDN pada Isnin. Turut sama Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Nor Anita Yusoff. Foto Bernama

CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjangkakan pembayar cukai dalam kalangan penjawat awam meningkat susulan pengumuman pelarasan gaji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, potongan cukai itu tertakluk kepada pendapatan yang boleh dicukai.

Iklan
Iklan

"Jika gaji yang diterima melebihi nilai ambang yang ditetapkan, sudah tentu ada kesan cukai daripada pendapatan atau kenaikan yang diterima.

"Tentunya ia juga bergantung kepada pelepasan yang dituntut dan sebagainya," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Ops Metro 2024 di sini pada Isnin.

Iklan

Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi di bawah Sistem Saraan Penjawat Awam.

Sementara itu, mengenai Ops Metro, Abu Tariq berkata, ia merupakan kerjasama antara LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bertujuan untuk meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pembayar cukai secara menyeluruh dari segi pendaftaran fail cukai pendapatan, penghantaran borang, pelaporan dan bayaran.

Iklan

Beliau berkata, ia juga merupakan strategi jangka pendek dalam memperluaskan asas hasil cukai, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan pengurusan yang akan menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara.

"Saya dimaklumkan bahawa dalam operasi kali ini, JKDM akan memberi tumpuan kepada aktiviti lawatan banci bisnes yang menyasarkan pembesaran asas percukaian, termasuk mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang berpotensi untuk didaftarkan.

"Bagi pihak LHDN, tumpuan adalah mengenal pasti pembayar cukai yang menjalankan ekonomi tunai dan warga asing yang menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau berkata Ops Metro melibatkan lima aktiviti operasi percukaian utama iaitu audit, siasatan, pungutan, lawatan banci bisnes dan guaman yang akan dijalankan secara serentak di sekitar Lembah Klang.

Kira-kira 1,000 anggota daripada LHDN dan JKDM terlibat dalam Ops Metro yang diadakan empat hari bermula hari ini. - Bernama