Suami isteri antara tujuh ditahan, dadah lebih RM10 juta dirampas

Iklan
Kumar (kanan) menunjukkan sebahagian peralatan memproses dadah yang dirampas.

JOHOR BAHRU - Tujuh individu termasuk pasangan suami isteri dicekup selain dadah bernilai lebih RM10 juta dirampas dalam serbuan di dua homestay dan sebuah rumah teres sekitar Daerah ini, Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar serbuan serta rampasan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang itu merupakan yang kedua terbesar tahun ini.

Iklan
Iklan

"Seramai lima lelaki tempatan berusia 26 hingga 38 tahun serta dua wanita warga asing ditahan berusia 22 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Serbuan pertama dan ketiga dilakukan di sebuah pangsapuri yang sama tetapi berlainan unit (rumah). Mereka ini menyewa dua pangsapuri tersebut dan menjadikannya sebagai homestay bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Iklan

"Difahamkan, pangsapuri itu dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke daerah ini termasuk di kelab-kelab malam manakala satu lagi serbuan dibuat di rumah teres," katanya.

Kumar berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Johor di sini hari ini.

Iklan

Dalam operasi tersebut, pihaknya merampas 59,627 gram(g) serbuk ekstasi bernilai RM9,957,709; 93.40g ketamin (18,680); 79g pil ekstasi (RM13,193); 103.10g (RM10,310) dan 41g ganja (RM1,230).

Keseluruhan dadah berkenaan boleh digunakan oleh seramai 199,644 penagih sekiranya terlepas ke dalam pasaran.

Tambah Kumar, pihak polis turut merampas 500 milimeter cecair vape, 10 unit rokok elektronik dan alatan memproses dadah selain menyita empat kereta (RM75,800); sebuah motosikal (RM5,500) dan pelbagai jenis barangan kemas (RM10,408).

"Turut dirampas wang tunai dalam ringgit (RM42,180); matawang Thailand (Bath150); matawang Singapura (SGD$372); matang Vietnam (VND550) dan matawang Amerika Syarikat (ASD$2).

"Jumlah nilai rampasan dadah RM10,001,122 manakala nilai sitaan pula RM235,257. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan dalam operasi ini berjumlah RM10,236,379," katanya.

Sementara itu, Kumar memaklumkan, tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan ujian saringan air kencing pula mendapati enam suspek positif methamphetamine, ketamin dan benzodiazepines.

Katanya, kesemua suspek, direman selama tujuh hari bermula 13 Ogos hingga hari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kita juga sedang memburu dalang sindiket tersebut yang masih bebas iaitu Lo Shaw Hang, 36 tahun yang beralamat di Jalan Belibis 15, Taman Perling di sini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Wan Roazha Wan Mat 019-8323874 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Ringkasan berita:

  • Serbuan Dadah: Tujuh individu termasuk pasangan suami isteri ditahan dalam serbuan di Johor Bahru.
  • Nilai Rampasan: Dadah bernilai lebih RM10 juta dirampas, termasuk ekstasi, ketamin, dan ganja.
  • Lokasi Serbuan: Serbuan dilakukan di dua homestay dan sebuah rumah teres yang dijadikan tempat memproses dadah.
  • Jumlah Pengguna: Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 199,644 penagih jika tidak ditangkap.
  • Rampasan Lain: Polis juga menyita kereta, motosikal, barangan kemas, wang tunai, dan rokok elektronik.
  • Suspek: Tiga suspek mempunyai rekod jenayah, enam positif dadah.
  • Pemburuan: Polis mencari dalang sindiket, Lo Shaw Hang.
Dijana oleh AI