JPNS siasat guru wanita hina Orang Asli

Iklan
Komen guru wanita berkenaan di Facebook yang seolah-olah menghina Orang Asli.

SEREMBAN - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengambil tindakan menyiasat seorang guru sekolah agama di negeri ini berhubung komennya yang merendah-rendahkan Orang Asli susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, pada Ahad.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Putra Hashim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang melanggar peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

Iklan
Iklan

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan Subperaturan 19(1)(a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] berkaitan Pernyataan Awam.

"Berdasarkan peraturan berkenaan, seseorang pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan dan keputusan kerajaan tentang apa-apa isu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, kes berkenaan akan dirujuk kepada para 5.3 (iii), Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 11 Tahun 2023 Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.

Tambahnya, kakitangan awam KPM tidak boleh membuat atau berkongsi sebarang pernyataan yang menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dasar kerajaan, maklumat yang tidak sahih, maklumat berbentuk fitnah, hasutan dan lucah.

Iklan

"Oleh itu pemantauan akan dilaksanakan terhadap guru yang terlibat serta pelaporan akan dibuat oleh Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) JPN Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini, tular mengenai kenyataan seorang guru wanita yang menyamakan penyokong parti Barisan Nasional/UMNO dengan masyarakat Orang Asli.