Sanggup bayar sindiket sehingga RM15,000 untuk dapatkan PLS

Iklan
Ruslin (dua dari kanan) menunjukkan pasport yang dirampas daripada pihak sindiket yang menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warga asing yang mahu tinggal lebih masa di negara ini. Foto Sinar Harian - HISYAMUDDIN AYUB.

PUTRAJAYA - Mahu tinggal lebih masa, ada warga asing sanggup bayar sehingga 12 kali ganda daripada jumlah sebenar bagi membolehkan mereka mendapat kelulusan dokumen perjalanan.

Pembayaran tersebut dibuat kepada ejen haram yang menawarkan perkhidmatan disediakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket bermula RM1,200 bagi kemudahan pas khas, berbanding RM100 untuk perkhidmatan sama jika dibuat di kaunter imigresen.

Malah kata beliau, kadar bayaran boleh mencecah sehingga RM15,000 dikenakan ejen haram itu bagi kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Iklan

Ruslin berkata, susulan laporan yang diterima, pihaknya melakukan serbuan di tujuh lokasi berasingan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Ujarnya, operasi khas yang dilaksanakan pada Khamis itu berjaya menahan empat lelaki tempatan dan dua daripadanya adalah dalang utama sindiket tersebut.

Iklan

"Dua wanita warga China yang dipercayai sebagai ahli sindiket turut ditahan, selain satu lelaki warga China dipercayai sebagai pelanggan kepada sindiket turut ditangkap.

"Seorang lagi wanita warganegara Filipina yang merupakan pembantu rumah kepada salah seorang dalang utama turut ditahan dalam operasi itu.

"Kesemua lapan individu yang ditahan itu berusia antara 33 hingga 53 tahun," katanya dalam sidang media pada Isnin.

Dalam operasi tersebut, JIM turut merampas 107 pasport antarabangsa pelbagai negara, borang permohonan pas lawatan, wang tunai RM57,260 dan Thai Baht 29,660 serta menyita lima buah kenderaan.

Ruslin berkata, hasil semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Menurut beliau, modus operandi digunakan sindiket adalah menawarkan perkhidmatan kepada warga asing yang berada lebih masa di negara ini bagi mendapatkan kemudahan imigresen.

Katanya, sindiket menyasarkan warga China yang ingin mendapatkan kemudahan PLS jangka panjang dan pendek untuk tinggal lebih lama di Malaysia.

"Sindiket menggunakan aplikasi WeChat dan media sosial lain bagi mempromosikan perkhidmatan disediakan.

"Kumpulan sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak sebulan. Bagi setiap perkhidmatan dan penghantaran, ia dilakukan menggunakan perkhidmatan kurier," ujarnya.

Ringkasan berita:

  • Sindiket Dokumen Perjalanan: Warga asing sanggup bayar hingga RM15,000 kepada sindiket untuk Pas Lawatan Sosial (PLS), jauh lebih tinggi daripada kadar sebenar RM100.
  • Operasi Tangkapan: Imigresen Malaysia tangkap lapan individu, termasuk dua dalang sindiket dalam serbuan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
  • Rampasan: Rampas 107 pasport antarabangsa, borang permohonan pas, RM57,260, Thai Baht 29,660, dan lima kenderaan.
  • Modus Operandi: Sindiket menggunakan aplikasi WeChat dan media sosial untuk promosi perkhidmatan kepada warga China yang tinggal lebih masa di Malaysia.
Dijana oleh AI