Masyarakat perlu terjemah pemikiran Allahyarham Siddiq Fadzil

Iklan
Ahmad Zahid Foto Bernama

BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengambil falsafah idea bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam cara beliau bekerja, sama ada bagi tugasan rasmi atau tidak rasmi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, banyak fikrah Allahyarham Siddiq digunakan dalam gerak kerja beliau sepanjang berada di tampuk kepimpinan dalam kerajaan selama ini.

Iklan
Iklan

"Antaranya menerusi langkah ‘ulul albab’ kesemua 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam negara tanpa berkompromi dari segi nilai akademik dan profesionalisme, serta Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara, yang diubah suai menjadi Tabika Pra Tahfiz.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsan 2024 di MRSM Bagan Datuk di sini pada Isnin.

Iklan
Ahmad Zahid bergambar ketika hadir merasmikan Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsan 2024 di MRSM Bagan Datuk pada Isnin. Foto Bernama

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari; Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman serta Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Sementara itu DBP dalam kenyataan memaklumkan seminar hari ini dianjurkan dengan objektif antaranya bagi menghargai jasa dan sumbangan tokoh dalam dunia persuratan Melayu dan tanah air itu, selain mengupas riwayat hidup serta kecemerlangan tokoh berkenaan.

Iklan

Seminar dengan tema"Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai Menerusi Gagasan Malaysia Madani” itu dianjurkan oleh DBP bersama Wadah, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Universiti Selangor (UNISEL), MRSM Bagan Datuk dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Allahyarham Siddiq yang juga Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi 2018 meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 akibat jangkitan paru-paru. - Bernama