LANGKAWI - Ahli keluarga Nurul Atiqah Adanan, pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Shandong, China, menarik nafas lega apabila pelajar tersebut selamat tiba di Beijing sebelum dijadualkan berlepas pulang ke negara ini, malam esok.
Adanan Long berkata anaknya tiba kira-kira 1.15 tengah hari tadi (waktu tempatan) dengan menaiki kereta api subway atau bawah tanah (dari Jinan) selepas rancangan awal untuk menggunakan kapal terbang ke Beijing terpaksa ditukar apabila lapangan terbang di Jinan, Shandong ditutup.
Katanya perjalanan menaiki kereta api subway merupakan langkah terakhir biarpun anak sulungnya itu menyedari risiko yang bakal ditempuh berikutan penularan wabak 2019 novel koronavirus di beberapa wilayah di China.
"Biarpun berisiko, yang penting Atiqah keluar dari wilayah tersebut. Alhamdulillah anak saya dah selamat sampai di Beijing tengah hari tadi selepas bertolak dari Jinan yang mengambil masa dua jam. Atiqah beritahu dalam perjalanan dari Jinan ke Beijing, dia seorang saja penumpang dalam koc kelas pertama kereta api subway tersebut.
"Atiqah dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, Beijing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9.55 malam esok, penerbangan yang mengambil masa lapan jam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nurul Atiqah, 26, merupakan penuntut tahun dua Sarjana Pengajian China sudah membeli tiket penerbangan ke Bangkok namun masalah timbul selepas Thailand tidak menerima penumpang dari China.
Adanan berkata dia akan ke Kuala Lumpur untuk menyambut Atiqah.
"Paling penting Atiqah selamat sampai ke Kuala Lumpur, sekiranya dia perlu dikuarantin tidak apa, kami reda. Kami sekeluarga berharap perjalanan Atiqah akan dipermudahkan," katanya.