TUMPAT -"Saya kuburkan impian untuk sambung belajar.” Itu luahan sayu seorang anak tunggal yatim piatu yang pada awalnya terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pengajian ke menara gading akibat masalah kewangan.
Gadis itu, Noor Farra Wahida Suhaimi, 21, kematian bapanya, Suhaimi Jaafar, 44, akibat strok haba pada 2016 manakala ibunya, Normah Salleh, 64, pula menyusul akibat jangkitan kuman paru-paru pada tahun lepas.
Katanya, sejak itu dia tinggal bersama nenek yang berusia 77 tahun dan dibantu ibu tiri, lapan adik-beradik berlainan ibu dan enam lagi berlainan bapa.
"Saya baru selesai menamatkan pengajian Diploma Akauntansi di Politeknik Muazam Shah, Pahang, pada Jun lalu melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Saya tak isi permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam kerana tidak mampu untuk menampung perbelanjaan dan juga berkira-kira untuk menolak tawaran melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Akaun di Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” katanya selepas menerima kunjungan Yayasan Raja Shamri dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Kampung Baru Nelayan di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengasas Yayasan Raja Shamri, Dr Raja Shamri Raja Hussin.
Menerusi kunjungan itu, Noor Farra Wahida juga diberi bantuan kelengkapan belajar berupa komputer riba, telefon bimbit, mesin cetak dan pakaian.
Pada Jumaat lalu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui rakaman telefon bersama Noor Farra yang dimuat di status Facebooknya menyatakan kesediaan beliau untuk membantu gadis tersebut termasuk berkaitan yuran pengajian dan penginapan sepanjang dia belajar di UniKL.
Noor Farra Wahida ketika menerima bantuan tersebut turut menangis terharu kerana itu kali pertama dia mendapat bantuan sedemikian.
"Pada saya, mungkin saya tak ada rezeki nak sambung belajar dan berserah pada ALLAH, saya percaya akan ada rezeki melalui jalan yang lain.
"Tetapi, dengan bantuan yang diterima ini, saya bersemangat semula dan mahu belajar bagi merubah masa depan saya sendiri,” katanya yang akan mendaftar ke UniKL pada 12 Oktober ini.
Noor Farra ketika ini bekerja kontrak kerani akaun di sebuah kilang perkakas rumah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan berulang-alik menggunakan motosikal sejak Julai lalu.
Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Noor Farra Wahida 0399541100594055.