SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan tangkap layar yang tular berhubung kenyataannya selepas kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Tuan Ibrahim menegaskan, penyebaran tangkap layar tersebut telah dilakukan oleh pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab.
"Palsu. Penafian terhadap sebaran berita berikut oleh akaun yang tidak bertanggungjawab," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini tular satu tangkap layar didakwa laporan daripada sebuah portal berita, Malaysiakini melaporkan mengenai kenyataan Tuan Ibrahim.
Menerusi tangkap layar yang disunting, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu didakwa mengeluarkan kenyataan 'Saya amat terkilan dan sedih pengundi Nenggiri tolak syurga - Tuan Ibrahim'.
Terdahulu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memanangi PRK DUN Nenggiri menewaskan Mohd Rizwadi Ismail dari PN dengan majoriti 3,372 undi.
Majoriti besar dimenangi BN mewakili Kerajaan Perpaduan sekali gus membolehkan parti itu merampas kembali DUN Nenggiri yang sebelum ini disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon PN.