PuTERA35: Status sosioekonomi bumiputera masih terperangkap dalam kelas menengah

Iklan
Rafizi Ramli. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Status sosioekonomi masih terperangkap dalam kelas menengah dan sederhana antara isu yang terus membelenggu bumiputera.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penyertaan bumiputera juga dilihat lebih tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah rendah.

Iklan
Iklan

"Ia secara tidak langsung telah menyebabkan jurang pendapatan dan kekayaan antara etnik semakin melebar," katanya ketika berucap di majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini, pada Isnin.

Ujar beliau, antara faktor utama adalah berkait dengan ketidakupayaan Bumiputera untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada ekonomi negara selain hasrat kerajaan untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera belum tercapai sepenuhnya.

Iklan

"Perusahaan bumiputera dilihat mempunyai kurang keupayaan dan kemampuan untuk mencipta nilai serta mengembangkan perniagaan apabila sebahagian besar daripada perusahaan ini bersaiz mikro dan kecil.

"Keterbatasan modal dan sokongan pada peringkat awal terutama syarikat pemula, turut menjadi faktor kepada isu ini yang seterusnya menyebabkan kebergantungan berterusan kepada geran dan pembiayaan kerajaan," jelas Rafizi.

Iklan

Menurutnya, bumiputera hanya mewakili tujuh peratus daripada syarikat tersenarai awam sehingga tahun 2022, iaitu 62 syarikat daripada 945 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Dalam aspek penyertaan tenaga buruh pula, kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera masih tinggi.

Berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia 2022, bilangan bumiputera yang menganggur mewakili 387,800 orang atau 61.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 630,400 orang yang menganggur.

"Sebanyak 70.8 peratus Bumiputera yang menganggur adalah daripada kumpulan belia yang berumur antara 15 hingga 30 tahun," katanya.

Ujar Rafizi, bumiputeramempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk Industri Pertumbuhan Bernilai Tinggi (HGHV).

"Hari ini kita akan berpeluang untuk diperkenalkan dengan hala tuju baharu pembangunan ekonomi bumiputera, (PuTERA35) sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat bumiputera.

"Pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi Madani iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan ketiga, menegakkan keadilan sosial," katanya.

Tambah beliau, berpaksikan semangat inklusif, Kerajaan Perpaduan komited untukmemastikan bahawa agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

"Ini sama sekali, tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya, mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara," katanya.