GEORGE TOWN - Seorang pemuda dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah ibunya di Bukit Jambul sejak Sabtu lalu.
Muhammad Danish Syamil Jusfaridan, 21, dikatakan gagal dikesan selepas keluar dari rumah untuk berjumpa kenalannya di Nibong Tebal.
Bapanya, Jusfaridan Azizat, 48, anak sulung daripada dua beradik itu tinggal bersama bekas isterinya di Bukit Jambul di sini.
Menurutnya, anaknya itu bagaimanapun tidak pulang sehingga Isnin malah dia gagal dihubungi.
"Saya difahamkan kali terakhir anak saya dilihat di Nibong Tebal dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR bernombor PRF 704, namun telefon bimbitnya gagal dihubungi.
"Saya juga telah menghubungi rakan-rakan dia tetapi mereka juga tidak tahu di mana dia berada. Kali terakhir kami berjumpa ialah pada Ahad minggu lalu, dia belanja saya dan adiknya makan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambahnya, ketika keluar makan bersama, Muhammad Danish yang bekerja di sebuah kedai makan di Relau kelihatan ceria seperti biasa.
"Dia ceria saja dan tak nampak dia ada masalah, sebab itu saya risau dia tidak pulang ke rumah malah tidak dapat dihubungi.
"Dia tak pernah hilang sebelum ini malah dia anak yang baik, tidak pernah buat hal yang tidak menyenangkan hati kami. Dia tak pernah keluar rumah dalam tempoh yang lama seperti ini menyebabkan kami sekeluarga risau," katanya.
Sehubungan itu, Jusfaridan memohon bantuan orang ramai untuk mengesan anak sulungnya itu selain menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui lokasi Muhammad Danish.
"Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan dirinya dan memohon bantuan orang ramai untuk mengesan anak saya.
"Laporan polis juga telah dibuat tengah malam tadi. Oleh itu, saya mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Danish boleh menghubungi saya di talian 012-535 1349 atau pergi je balai polis berhampiran," katanya.