Guru agama Sabah perlu tauliah, pastikan penyampaian berkualiti - Hajiji

Iklan
Adalah menjadi tanggungjawab setiap guru agama untuk memahami, menghayati dan mendidik masyarakat untuk terus celik ilmu agama supaya amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam. Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Hajiji Nor)
KOTA KINABALU - Guru-guru agama di Sabah perlu memperolehi tauliah mengajar yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Sabah bagi memastikan penyampaian mereka memenuhi kualiti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini bagi memastikan agenda yang menyimpang dapat dikawal selain menjaga keharmonian hubungan kaum dalam masyarakat di negeri itu daripada anasir tidak baik.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab setiap guru agama untuk memahami, menghayati dan mendidik masyarakat untuk terus celik ilmu agama supaya amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam.

"Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar. Oleh itu, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.

"Keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan dapat direalisasikan,” katanya pada majlis perasmian program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ (JMUU) Peringkat Negeri Sabah 2024 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji juga meminta supaya semua pihak dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan. - Bernama