710 daripada 1,075 sekolah daif seluruh negara siap dibaik pulih - Fadhlina

Iklan
Fadhlina (kiri) melihat pelan pembangunan baik pulih sekolah yang telah disiapkan pada Majlis Penyerahan Projek KPM di SMK Bagan Terap di sini pada Isnin.

SABAK BERNAM - Sebanyak 710 daripada 1,075 sekolah daif di seluruh negara ini sudah siap dibaik pulih setakat Ogos ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 164 buah sekolah sedang dalam pembinaan, manakala 201 lagi masih proses pra pembinaan.

Iklan
Iklan

"Di selangor sahaja, kita ada 34 sekolah daif dan semua ini sedang dalam proses pembinaan selain menyasarkan untuk menyiapkan 20 projek sekolah daif sebelum penghujung tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap di sini pada Isnin.

Fadhlina memberitahu, KPM sentiasa memantau serius mana-mana sekolah daif yang berada pada skala tujuh dan disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Iklan

"Misi kami adalah untuk memastikan (sekolah dibaik pulih) ini siap (mengikut tempoh masa ditetapkan) dengan bantuan sinergi daripada JKR bagi memastikan anak-anak kita dapat menikmati suasana pembelajaran kondusif," ujar beliau.

Beliau memberitahu, pada tahun ini juga, terdapat banyak sekolah daif telah berjaya disiapkan.

Iklan

"Menerusi inovasi dan pembangunan serba baharu dan canggih, ia sekali gus membantu mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf mengikut tempoh ditetapkan," ujar beliau.

Mengulas mengenai program itu, Fadhlina memberitahu, sebanyak dua projek milik KPM telah siap dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor selaku agensi pelaksana di dua sekolah di Sabak Bernam.

Beliau memberitahu, projek keseluruhan bernilai RM7.38 juta itu meliputi pembinaan gantian penuh bangunan enam bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Bagan Terap dan pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani di sini.

"Pembinaan bangunan ini bertujuan menyediakan fasiliti pembelajaran kondusif dan selesa kepada pelajar pendidikan khas yang sebelum ini pembelajaran dilakukan di kontena yang diubahsuai menjadi bilik darjah.

"Bangunan baharu (PPKI) SMK Bagan Terap ini dibina bagi menampung pertambahan bilangan pelajar yang boleh menempatkan seramai 29 pelajar PPKI serta seramai 10 guru termasuk seorang guru penolong kanan PPKI.

"Projek kedua berjaya diserahkan ialah di SK Sungai Haji Dorani, bagi menggantikan bangunan sedia ada yang uzur di samping penambahan ruang kelas lebih selesa dan selamat," tambah beliau.