Sindiket sewa rumah flat jadi tempat 'simpan' PATI

Iklan
Sebuah rumah flat di Mantin, Negeri Sembilan digempur polis dan menahan warga Myanmar pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Rumah flat di Mantin, Negeri Sembilan dan teres di Meru, Selangor yang dijadikan tempat menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menyusup masuk secara haram diserbu polis.

Op Pintas berasingan itu dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menahan 46 warga Myanmar termasuk 16 wanita.

Iklan
Iklan
Soffian

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama pada jam 11 malam, Ahad dilakukan ke atas flat di Mantin membawa penahanan 31 warga Myanmar.

Katanya, susulan itu, pada jam 5 pagi keesokannya membawa serbuan rumah teres di Meru dengan tangkapan 15 warga Myanmar.

Iklan

"Keenam-enam suspek berusia 30 hingga 43 tahun ini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Polis menggempur rumah teres di Meru, Selangor, pada Isnin, yang dijadikan rumah penampungan PATI.

Beliau berkata, selebihnya melibatkan tangkapan migran Myanmar terdiri daripada 25 lelaki dan 15 wanita berusia 22 hingga 40 tahun.

Iklan

Katanya, siasatan polis mendapati dua lokasi ini diuruskan oleh kumpulan sama dikenali sindiket 'Aun'.

"Kediaman itu disewa dengan bayaran RM500 sebagai rumah penampungan.

"Migran telah membayar RM4,000 kepada ejen di Myanmar untuk proses memasuki Malaysia dan setelah sampai, mereka dikehendaki membayar RM850 lagi kepada ejen warga Myanmar bagi penginapan dan perlindungan sementara menunggu pekerjaan," ujarnya.

Tambah beliau, sindiket dipercayai menyeludup masuk PATI melalui jalan darat yang tidak diwartakan (Myanmar-Thailand-Malaysia).