SEBERANG JAYA - Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan RM17 juta bagi Skim Dermasiswa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada 5,000 orang pelajar yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, agihan dermasiswa zakat tahunan dianugerahkan kepada para pelajar yang layak bermula dari peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (master) dan ijazah doktor falsafah (PhD).
Beliau berkata, menyedari kepentingan pendidikan kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang maka Kerajaan Pulau Pinang terus giat memainkan peranan menerusi MAINPP dalam menyalurkan dana zakat dalam bentuk agihan zakat pendidikan kepada pelajar-pelajar Muslim bagi memastikan kelestarian pendidikan berkualiti yang membangunkan generasi ummah agar cemerlang.
"Bertepatan dengan pendekatan model ekonomi Madani yang bertitik tolak daripada falsafah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang manusiawi berteraskan nilai, kemasyarakatan, peradaban dan norma.
"Pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik yang disokong dengan pembentukan modal insan terutama yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), menuntut agar generasi Muslim masa hadapan tidak ketinggalan dalam pembangunan pendidikan yang melibatkan sains dan teknologi," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dermasiswa Premium MAINPP 2024 di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussein.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, pihaknya juga telah menyediakan dua skim agihan yang baharu iaitu kepada para pelajar Pulau Pinang yang belajar di seluruh Politeknik bermula peringkat Diploma dan ke atas dengan agihan tambahan dermasiswa berjumlah RM2.5 juta.
Selain itu, katanya skim kedua adalah Skim Permulaan Pelajar Tingkatan 6 Rendah yang mana setiap pelajar akan menerima sebanyak RM800 secara ‘one off’ yang melibatkan peruntukan sebanyak RM800,000.
Jelasnya, kedua-dua jenis skim ini menjadikan agihan Dermasiswa MAINPP pada tahun ini lebih Premium berbanding tahun-tahun sebelumnya
"Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan usaha dan inisiatif pelbagai pihak untuk kita bersama-sama memacu kecemerlangan pendidikan negara dan melahirkan modal insan yang berkualiti.
"Kita menyedari bahawa generasi muda adalah aset masa depan negara, justeru kita semua perlu menggembleng segala usaha dan tenaga bagi mempersiapkan golongan ini dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi," katanya lagi.