Ambil tindakan segera kukuh keselamatan tempat kerja - NIOSH

Iklan
Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (NIOSH) menyeru semua industri untuk segera mengambil tindakan tegas bagi mengukuhkan keselamatan tempat kerja berikutan insiden tragis di Bintulu yang mencederakan 10 pekerja.

Dilaporkan empat mangsa telah dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Bintulu sementara tiga di unit rawatan kebakaran dan tiga lagi di wad pembedahan selepas kebakaran berlaku di sebuah kilang milik warga asing di Taman Perindustrian Samalaju pada Rabu lalu.

Iklan
Iklan

Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen berkata, insiden itu menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi keselamatan secara menyeluruh di semua industri.

"NIOSH komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan; majikan, pekerja, dan pengawal selia bagi memacu budaya keselamatan di seluruh negara.

Iklan

"Keselamatan dan kesejahteraan pekerja perlu menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap industri dan insiden buruk ini seharusnya menjadi peringatan tegas bahawa piawaian keselamatan tidak boleh dikompromi.

"NIOSH ingin merakamkan ucapan simpati mendalam kepada keluarga terlibat dan percaya syarikat-syarikat di seluruh Malaysia perlu menilai semula protokol keselamatan mereka dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, sekarang bukanlah masa untuk semua pihak berpuas hati dengan tahap keselamatan masing-masing.

Ujar beliau, pihaknya komited untuk menyokong syarikat yang terlibat dengan kejadian terbabit serta perniagaan lain bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

"NIOSH ingin menyeru semua syarikat untuk melakukan perkara yang sama kerana perlindungan pekerja tidak boleh dianggap remeh malah ia harus menjadi prinsip asas dalam setiap operasi.

"Sekali lagi, NIOSH ingin menzahirkan simpati paling mendalam kepada mereka yang terkesan oleh insiden tragik ini dan kami akan terus berada di barisan hadapan bagi memperjuangkan tempat kerja yang lebih selamat untuk mengelakkan tragedi daripada berlaku di masa hadapan," katanya.