PENGANJURAN Pestabola Merdeka diharap dapat menarik penyertaan pasukan gergasi bola sepak dunia pada masa depan sekali gus mengembalikan prestij kejuaraan tersebut.
Harapan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan Pestabola Merdeka 2024, Mohd Firdaus Mohamed yang percaya penyertaan pasukan ranking lebih baik akan memberikan pendedahan lebih kepada skuad kebangsaan.
"Kalau kita lihat sejarah lalu Pestabola Merdeka ini seingat saya pada lewat 80-an dahulu, banyak pasukan dari Afrika yang bermain seperti Senegal, Ghana, Korea Selatan dan Jepun yang sekarang ini sudah mendahului kita.
"Namun, saya yakin kewibawaan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Exco FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) untuk mencari pasukan yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Pada kejohanan yang memasuki edisi ke-43 itu, Malaysia diundi bertemu Filipina sementara juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan dalam aksi separuh akhir pada 4 September sebelum pemenang akan berentap di final empat hari kemudian.
Dalam pada itu, Firdaus menyasarkan pasukan di ranking ke-100 ke bawah akan menjadi sasaran badan induk itu pada penganjuran edisi akan datang.
"Pada saya bukanlah mengenai ranking atau kemenangan, tetapi pendedahan kepada pasukan kebangsaan itu yang paling utama. Untuk masa akan datang kita akan dapat cari pasukan yang lebih baik mungkin ranking 100 ke bawah.
"Sebab kalau sekarang ini kita menang pun (menentang pasukan di ranking kurang bagus) mungkin dari segi ranking kita tak naik banyak sangat.
"Kita kena ambil pendekatan berani. Kalau kita lihat di Indonesia mereka berani untuk bermain dengan Argentina, itu satu pendedahan yang bagus. Apabila ada pendedahan ia sesuatu yang baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya.