G2G Malaysia-Thailand diyakini tidak terjejas

Iklan
Komitmen Thailand dalam hal perdagangan, pelaburan dan pelancongan khasnya yang melibatkan hubungan dengan Malaysia dijangka tidak berubah. Gambar kecil: Aminurraasyid

SHAH ALAM - Hubungan kerjasama Malaysia-Thailand melalui Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) diyakini terus utuh di bawah pentadbiran Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik, Paetongtarn Shinawatra.

Pakar dari Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, komitmen Thailand dalam hal perdagangan, pelaburan dan pelancongan khasnya yang melibatkan hubungan dengan Malaysia dijangka tidak berubah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan Yingluck Shinawatra masing-masing merupakan bapa dan ibu saudara Paetongtarn juga mempunyai rekod baik dalam hubungan dengan Malaysia.

"Dasar luar negara Thailand dalam hubungan dengan negara jiran adalah konsisten walaupun keadaan politik domestiknya sering kali berubah teraju kepimpinannya.

Iklan

"Dalam masa yang sama, Perdana Menteri baharu Thailand juga memerlukan hubungan baik dengan negara-negara jiran yang akan mengangkat imej beliau di mata rakyatnya selain kepercayaan rakan-rakan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Paetongtarn, anak bongsu Thaksin menerima perkenan diraja secara bertulis daripada Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu majlis di ibu pejabat Pheu Thai pada pagi Ahad, dua hari selepas dipilih oleh Parlimen.

Iklan

Beliau berjanji untuk meneruskan dasar kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Srettha Thavisin dengan memberi tumpuan kepada reformasi ekonomi dan penambahbaikan penjagaan kesihatan yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Paetongtarn juga berikrar untuk bekerjasama dengan semua sektor bagi memastikan semua inisiatif itu dapat direalisasikan.