SHAH ALAM - Kanak-kanak seusia dengannya hanya mahu bermain dan melakukan perkara yang disukai.
Berbeza dengan Nura Nazifa Damia, dia lebih gemar membantu kedua ibu bapanya berniaga di gerai mereka di Kota Kinabalu, Sabah.
Namun tiada siapa sangka, kanak-kanak berusia 10 tahun itu kini mampu memiliki sebuah telefon bimbit mewah jenama iPhone sebagai 'ganjaran' hasil titik peluhnya bekerja.
Berkongsi perkara itu, ibunya, Siti Nooraliyana Mohd Ali mengakui, dia dan suami menerapkan nilai murni dan tidak manjakan anak-anak dengan menurut permintaan mereka.
"Jadi hasil dia bantu jaga gerai durian selama dua tahun, dapatlah beli iPhone. Damia memang suka berniaga, kalau di kedai, dia akan ambil pesanan pelanggan dan jadi 'cashier'," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, walaupun anak sulungnya suka berniaga, dia tetap meletakkan pelajaran sebagai perkara utama.
Malah menurutnya, Nur Nazifa Damia pernah menyatakan hasrat untuk menjadi seorang ahli perniagaan apabila dewasa kelak.
"Dia bernah cakap, 'Mummy, Damia nak jadi penjual bila besar nanti, boleh belajar tetapi saya mahu ada kedai sendiri. Apa yang patut saya jual?
"Saya kata, dia boleh jual apa sahaja asalkan dapat untung. Saya akan memberi sokongan dalam apa juga minat Damia tetapi tetap menekankan pelajaran perlu diutamakan kerana ilmu penting untuk masa depan.
"Pengalaman Damia berniaga akan mengajar dia erti bukan mudah mendapatkan duit jika tiada usaha dan ilmu," ujarnya.
Perkongsian Siti Nooraliyana menjadi tular di laman sosial Facebook hingga mendapat lebih 12,000 tanda suka.