[VIDEO] Penganggur didakwa bunuh ibu bapa, anak saudara

Iklan
Tertuduh dibawa mahkamah dengan kawalan ketat anggota polis.

MUAR - [DIKEMAS KINI] Suspek utama kes pembunuhan ibu, bapa dan anak saudaranya dalam kejadian kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh pada 9 Ogos lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, pada Selasa.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh yang merupakan penganggur hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Azman Mohamed Nor, 48, didakwa membunuh bapanya Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; ibunya, Ara Abdul Hamid, 76, dan anak saudaranya Noradriana Nor Hasyim, 11.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan Pagoh antara 1 pagi hingga 3 pagi, 9 Ogos lalu.

Iklan
Tertuduh dibawa mahkamah dengan kawalan ketat anggota polis.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun serta maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Oktober depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes.

Iklan

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh yang masih bujang itu didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh, kemudiannya membuat pengakuan salah dihadapan Hakim Nariman Badruddin, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir kemudian memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes, manakala Azman tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menetapkan 29 September depan bagi penetapan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki dan Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, suspek berusia 48 tahun itu tiba di pekarangan kompleks mahkamah sekitar jam 8.30 pagi dengan tangan bergari dan pakaian lokap berwarna ungu dengan dikawal rapi anggota polis

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pasangan warga emas dan cucunya maut manakala seorang lagi cedera di kepala dan tangan dalam kejadian kebakaran di rumah mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh.

Suspek utama yang juga anak sulung pasangan warga emas itu dipercayai bertindak melarikan diri selepas kejadian ditahan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 pagi 14 Ogos lalu.