Dua along tidak mengaku rompak, cederakan lima individu

Iklan
Kai Jun (depan) dan Siaw Hock (dua dari kiri) dibawa keliar dari Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merompak dan mencederakan lima individu, 8 Ogos lalu.

IPOH - Dua ahli sindiket along mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan merompak dan mencederakan lima individu, dua minggu lalu.

Tertuduh, Alson Ik Kai Jun, 20, dan Ling Siaw Hock, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan dengan mengambil telefon bimbit jenama Huawei dan Vivo, dua kad pengenalan serta wang tunai RM5,000.

Semasa melakukan rompakan tersebut, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Tou Siow Lung, 21; Emilie Yip Phooi San, 29; Keng Zhen Wei, 23; Wong Swee Chon, 53, dan Loi Woon Ye, 34.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar dekat Manjung sekitar jam 12.30 tengah malam pada 8 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM15,000.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Sardeep Singh Jit bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan jaminan minimum berikutan tertuduh pertama masih bujang manakala tertuduh kedua bekerja sebagai kontraktor bebas dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh pertama diikat jamin sebanyak RM10,000 dan tertuduh kedua sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri ke balai polis setiap 1 hari bulan.

Mahkamah menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.

Media melaporkan tiga sekeluarga cedera diserang sekumpulan empat along menggunakan kayu dan pisau ketika mangsa sedang menikmati makanan dalam rumah.

Serangan turut mengakibatkan dua rakan mangsa yang kebetulan berada di rumah tersebut cedera.

Siasatan polis mendapati, mangsa yang bekerja sebagai penjual jubin membuat pinjaman berjumlah RM1,000 daripada sindiket itu.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Kampar dan Ayer Tawar.

Ringkasan berita:

  • Tidak Bersalah: Dua along tidak mengaku merompak dan mencederakan lima orang.
  • Rompakan: Mereka didakwa ambil telefon, kad pengenalan, dan RM5,000, serta mencederakan lima mangsa.
  • Hukuman: Tuduhan di bawah Seksyen 394 dengan hukuman penjara hingga 20 tahun.
  • Jaminan: Tertuduh pertama diikat jamin RM10,000, tertuduh kedua RM12,000.
  • Kejadian: Lima cedera diserang dengan kayu dan pisau.
  • Motif: Mangsa pinjam RM1,000 dari along.
  • Penangkapan: Tiga suspek ditahan di Kampar dan Ayer Tawar.
Dijana oleh AI