Cuma demam biasa, semua pelancong atas kapal bebas koronavirus

Iklan
Costa Smeralda, kapal persiaran utama dan kelima terbesar di dunia berlabuh di Pelabuhan Civitavecchia.

CIVITAVECCHIA - Pengendali kapal persiaran mewah Itali mengesahkan dua individu warga China yang berada di atas kapal itu bebas daripada jangkitan koronavirus.

Syarikat perkapalan Costa Crociere dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa kesihatan Itali memberi lampu hijau untuk membebaskan kesemua pelancong yang dikuarantin selepas pemeriksaan mendapati pasangan terbabit hanya mengalami demam biasa.

Iklan
Iklan

"Kami menghargai kerjasama semua pihak. Kami terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan segala prosedur dipatuhi sekali gus memastikan keselamatan penumpang berada pada tahap tertinggi," katanya.

Dalam kejadian semalam, lebih 6,000 pelancong terperangkap di atas kapal persiaran itu selepas ia dikuarantin susulan pasangan suami isteri dari Macau disyaki dijangkiti koronavirus.

Iklan

Tiga orang doktor dan seorang jururawat dihantar bagi merawat seorang wanita yang demam di atas kapal milik syarikat perkapalan Costa Crociere di pelabuhan Civitavecchia, kata pegawai kesihatan tempatan.

Pasangan itu terbang ke Milan dari Hong Kong pada 25 Januari lalu sebelum menaiki kapal persiaran berkenaan, lapor media Itali.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin telah menandatangani surat arahan penutupan sempadan di antara Rusia dan China berkuatkuasa serta merta.

Tindakan drastik penutupan berkenaan adalah bagi menghalang penyebaran wabak koronavirus yang kini sudah menjangkau ke 15 buah negara.

Malah Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan agar pihak berkuasa untuk mengambil apa jua tindakan dan langkah yang perlu bagi menghalang penyebaran wabak berkenaan.

Rusia berkongsi sempadan dengan China sejauh 4,345 kilometer. - Agensi