Malaysia berhubung rapat negara ASEAN pantau kes cacar monyet

Iklan
Lukanisman

GEORGE TOWN - Kerajaan sedang berhubung rapat dengan semua negara ASEAN bagi memantau kes cacar monyet (mpox) di negara-negara berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan juga bekerjasama dengan beberapa agensi lain untuk membuat ujian saringan di pintu masuk sempadan seperti di lapangan terbang dan laluan masuk negara lain.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, proses yang dilakukan adalah sama seperti dilaksanakan ketika pandemik dahulu iaitu ujian saringan.

"Langkah berjaga-jaga diambil oleh semua agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terutama di pintu masuk dan sempadan negara.

Iklan

"Jika terkesan sesuatu terutama di pintu masuk sempadan, KKM telah mempunyai garis panduan mengenainya," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian The 34th Malaysia-Thailand Border Health Scientific Conference 2024 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan juga memantau rapi situasi jangkitan di Eropah dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dan KKM akan memantau keadaan dari masa ke semasa.

Lukanisman (tengah) melawat reruai yang terdapat di Malaysia-Thailand Border Health Scientific Conference 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Batu Feringghi.

Iklan

"Kita akan keluarkan kenyataan bagi mengelakkan situasi panik dalam kalangan orang ramai.

"Bagaimanapun, langkah berhati-hati perlu diambil oleh rakyat Malaysia berhubung jangkitan mpox," katanya.

Jelasnya, sehingga kini, tiada jangkitan baharu mpox direkodkan oleh KKM.

"Buat waktu ini juga tiada halangan untuk sebarang aktiviti keluar masuk ke negara ini," katanya.

Mengulas mengenai keperluan vaksin mpox, Lukanisman berkata, KKM akan mengkaji sepenuhnya berhubung perkara tersebut.

"Jangkitan mpox ini boleh dielak sekiranya orang ramai mengambil langkah berhati-hati selain menjaga kebersihan kendiri.

"Simptom jangkitan mpox ini juga, jika kita lihat, ia senang dikenal pasti daripada sudut fizikal terutama sekali tompok di badan selain pesakit sendiri boleh rasakan kesan mpox tersebut," katanya.

Sebelum ini, KKM sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti survelan dan advokasi berkaitan mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa-PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.