KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan beliau antara mereka yang menandatangani akaun bersumpah (SD) dan menjadi saksi terhadap 115 SD pada 20 November 2022.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, SD tersebut telah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
"Proses yang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin jelaskan di Nenggiri (kempen pilihan raya kecil) itu memang berlaku dan diserahkan 115 SD kepada pihak Istana Negara.
"SD berkenaan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan YDPA ke-16, ada cop terima dan dihantar sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Istana Negara,” katanya ketika ditemui selepas laporan polis berhubung tuduhan terhadap Muhyiddin di Ibu Pejabat Daerah, Dang Wangi pada Selasa.
Beliau berkata demikian susulan menjelaskan kenyataan Muhyiddin sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyebut mengenai Perikatan Nasional (PN) telah mempunyai jumlah SD yang lebih untuk menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, tindakan Pengerusi PN itu didakwa seolah-olah mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi YDPA ke-16.
Justeru, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin kerana memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Ekoran itu, Istana Pahang membuat satu laporan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kerana menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada PRK Nenggiri.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal, perkara tersebut bukan rekaan kerana bahkan menerusi laporan media sebelum ini, ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyatakan perkara sama bahawa Muhyiddin memiliki SD mencukupi termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Inti pati ceramah Muhyiddin itu adalah kenyataan fakta. Muhyiddin sama sekali tidak ada menyinggung, memperlekeh dan mempersoal kuasa YDPA ketika itu. Perkara yang diperkatakan Muhyiddin adalah fakta sejarah.
"Apa yang berlaku selepas itu saya tidak mahu ulas. Ia sudah pun berlaku dan kita terima malah ‘move on’. Sekali lagi, ceramah itu hanya menjelaskan fakta sejarah, itu sahaja,” ujarnya.