TAIPING - Seorang penjawat awam maut selepas tercampak keluar dari kenderaan utiliti sukan (SUV) akibat terbabas di Kilometer (KM) 256.2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan berhampiran Trong di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, Nik Nur Aina Adriana Nik Amram Fathil, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan enam anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.05 pagi.
"Setibanya di lokasi, kenderaan milik Jabatan Pertanian itu dipercayai terbabas dan terbalik dalam longkang.
"Anggota pasukan diarahkan memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan diserahkan kepada pihak Kesihatan untuk rawatan susulan," katanya di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa kedua diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada jam 12 tengah hari.