Kalendar kaligrafi Cina, Tamil, jawi

Iklan
Ah Chai menunjukkan kalendar Maju Bersama 2020 yang memperkenalkan seni kaligrafi tiga budaya di Malaysia. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Tan Kah Kee menerbitkan 2,000 salinan kalendar tahun 2020 yang mempamerkan tiga kaligrafi berbeza melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Ahli jawatankuasanya, Tang Ah Chai berkata, bertemakan Maju Bersama, kalendar tersebut menghimpunkan kaligrafi Cina, Tamil dan jawi sebagai inisiatif menyemarakkan semangat muhibah.

Iklan
Iklan

Lebih menarik, katanya, dalam kalendar itu kaligrafi Cina dihasilkan oleh pengasas Persatuan Kaligrafi Malaysia, Dr Wong Kum Peng manakala kaligrafi Tamil disumbangkan oleh pengasas utama kaligrafi Tamil Malaysia, Dr Velu Perumal dan jawi pula disumbangkan hasil sokongan Yayasan Restu.

Menurutnya, idea tersebut tercetus bagi meredakan suasana susulan perbezaan pandangan berhubung isu tulisan jawi yang tercetus pada tahun lepas.

Iklan

"Setiap tahun kami akan sediakan kalendar mengikut tema berbeza untuk diagihkan kepada ahli dan kenalan.

"Mulanya ada yang mencadangkan supaya tema kaligrafi Cina diperkenalkan sebelum idea tersebut dikembangkan dengan merangkumkan kaligrafi Tamil dan jawi atas semangat kepelbagaian di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur di sini kelmarin.

Iklan

Katanya, idea itu diterima baik dalam kalangan ahli jawatankuasa sebelum bekerjasama dengan pihak luar bagi penghasilan kalendar menghimpunkan kaligrafi berlatar belakang kepelbagaian budaya itu.

"Kami ingin membawakan konsep pendidikan dan bersyukur kerana niat memperkenalkan kaligrafi pelbagai aliran itu disokong dan dibantu tanpa sebarang syarat.

"Kami gembira dapat menghimpunkan perbezaan budaya yang menjadi kelebihan di Malaysia kepada umum,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima juga positif dan secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara kaum.

"Kemajuan itu perlu seiring bukan hanya kepada satu kaum tetapi semua dan perlu memberi galakan antara satu sama lain.

"Kita terlebih dahulu perlu faham budaya dan warisan pelbagai bangsa, terima dengan hati terbuka bukan curiga atau mempersoalkan hak kaum lain dan sebagainya,” katanya.

Katanya, beliau menyokong jika seni kaligrafi pelbagai kaum itu dibawa dalam sistem pendidikan negara.

"Setiap kebudayaan ada kelebihan tersendiri, konflik antara kaum timbul disebabkan tidak memahami asasnya.

"Saya sokong jika kaligrafi dimasukkan dalam sistem pendidikan. Jika seni itu dimasukkan, ia beri peluang kepada murid untuk belajar.

"Sekurang-kurangnya mereka tahu tulisan kaum lain, tak mahir tak apa, kalau boleh belajar lagi bagus,” katanya.