ALOR SETAR - Suspek kes bunuh isteri dan anak perempuan telah memohon untuk menumpang tidur di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang pada malam Isnin.
Imam masjid tersebut, Mohd Fauzi Bakar, 62, berkata, semasa dia mahu keluar masjid untuk ke majlis tahlil, kelihatan lelaki tersebut berada di atas tangga di hadapan pintu masuk masjid kira-kira jam 9 malam.
"Sebelum kejadian, saya ada majlis tahlil dan nak cepat, lelaki tersebut kata anaknya tidak sihat dan saya pegang kepala anaknya dan baca al-Fatihah dan ayat Kursi dalam dua tiga minit.
"Dia minta izin nak tidur di sini, dia kata anaknya sejuk dan prosedur masjid tidak bagi tidur di dalam, kita minta tidur di luar dan dia minta pasang lampu,” katanya semasa ditemui pemberita di Masjid Al Hidayah, dekat sini pada Selasa.
"Ada jemaah yang datang kepada saya dan bisik ini kes bunuh ustaz, masa itu baru saya tahu tapi saya serahkan kepada anggota polis yang turut berada di situ kerana mahu pergi ke majlis tahlil,” ujarnya.
Pada Selasa, seorang lelaki warga asing ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri dan anak perempuannya yang ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim pada Isnin.
Perintah reman dikeluarkan bermula Selasa hingga 26 Ogos depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di sebuah Masjid di Bukit Pinang pada jam 9 malam pada Isnin.