Piala Sultan Selangor platform semarak semangat persahabatan dalam sukan

Iklan
Pemain-pemain Selangor meraikan kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Singapura di Stadium Merdeka pada Sabtu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

PENGANJURAN kejohanan Piala Sultan Selangor atau The Sultan Selangor’s Cup (TSSC) bertujuan mempererat persaudaraan antara Selangor FA dan Singapura FA, dua pasukan berseteru yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.

Facebook Selangor Royal Office menerusi catatan terbaharu berkongsi bahawa idea penganjuran kejohanan itu dicetuskan sendiri oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2001, iaitu tahun yang sama baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.

Iklan
Iklan

Selangor dan Singapura merupakan dua pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada ketika itu sejak Piala Malaysia yang sebelumnya dikenali sebagai Piala Malaya dan kemudian Piala HMS Malaya diperkenalkan pada 1921 dengan kedua-dua pasukan bertemu sebanyak 23 kali dalam perlawanan akhir.

"Dan dalam tempoh itu, Selangor telah menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada 2015, manakala Singapura dengan 22 kejuaraan sehinggalah pasukan itu menarik diri dari Liga Malaysia pada 1994," mengikut catatan itu.

Iklan

Catatan itu menyatakan pertembungan di antara Selangor dan Singapura juga sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai 'Malayan El Clàsico' dengan kedua-dua pasukan musuh tradisi itu sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat menghormati.

Bagi meraikan dan mengimbas kembali kehebatan perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura, kejohanan Piala Sultan Selangor mula dianjurkan pada 2001 dan diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau National Stadium Singapura dengan kali terakhir ia dilangsungkan ialah pada 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Iklan

Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor adalah eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura selain turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura.

Catatan itu turut menyebut sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019, manakala Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu.

Mengikut catatan itu, edisi ke-18 Piala Sultan Selangor yang diadakan pada 17 Ogos lepas dianggap cukup berbeza kerana dilangsungkan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka, yang menyaksikan Pilihan Selangor muncul juara.

Saingan itu, katanya telah menggamit banyak nostalgia dan kenangan, terutama bagi pemain dan penyokong kedua-dua pasukan yang amat teruja dengan penganjuran semula kejohanan itu yang disifatkan sebagai satu platform mengimbas kembali nostalgia"permusuhan tradisi” antara kedua-dua pasukan.

"Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

"Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor adalah antara acara dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia," menurut catatan itu.

Dalam hal ini, Selangor Royal Office berharap penjelasan itu dapat memberi fakta tepat dan manfaat pengetahuan lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor.

Apa yang ingin ditekankan juga, simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor ini dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa khususnya dalam arena bola sepak tempatan, katanya. - Bernama