KOTA BHARU - Majlis angkat sumpah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri akan dilangsungkan pada akhir Oktober ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ia akan berlangsung semasa persidangan DUN sempena Belanjawan.
"Biasanya majlis ini (angkat sumpah ADUN) dibuat dalam persidangan akan datang pada akhir Oktober," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan BN kembali merampas kerusi DUN Nenggiri apabila calon mereka, Mohd Azmawi Fikri yang digelar 'Budok Awie' menang empat kali ganda majoriti pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Dewan Majlis Daerah Gua Musang di sini, pada Sabtu.
Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, 5,739.
Jumlah undi pemilih pada kali ini ialah 14,830, undi ditolak 135 dan undi tidak dikembalikan adalah tiga.
PRK kali ini melibatkan seramai 20,259 pengundi yang mendaftar membabitkan 86 peratus daripadanya ialah Melayu, Orang Asli (14 peratus), Cina (0.2 peratus) dan India (0.1 peratus).