ALOR SETAR - Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah di sini dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek warga asing dalam kejadian pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ini kerana kesan kelar yang terdapat pada leher mangsa menyerupai kecederaan yang terdapat pada mayat dua beranak sebelum ini.
"Bagaimanapun kita sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada Ahad lalu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.
Menurutnya, mayat kanak-kanak malang itu ditemui orang awam terdampar di pantai tersebut kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa.
Menurutnya, berdasarkan siasatan mangsa dipercayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut.
Dalam pada itu Adzli berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga gelandangan itu dipercayai mempunyai tiga orang anak.
"Mereka sekeluarga dipercayai baru sahaja seminggu mendiami bangunan kosong berdekatan lokasi penemuan mayat dua beranak sebelum ini.
"Ketika ditahan seorang lagi anak lelaki suspek berusia lima tahun turut berada bersamanya, dan kelihatan trauma," katanya.
Jelasnya, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan MOP.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai kes domestik dan tidak melibatkan sebarang jenayah terancang atau bersiri.
"Polis meminta kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada awam," katanya.
Pada Isnin malam, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang Isnin.
Suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini pada jam 9.05 malam bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat.