KPS ACT-i Jelajah Antirasuah permulaan implementasi NACS 2024-2028

Iklan
Zulkifli (tengah), Norhayati (tiga, kiri) pada program KPS ACT-i Jelajah Antirasuah di SMK Taman Kosas pada Selasa.

AMPANG - Program KPS ACT-i Jelajah Antirasuah anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) dan Rasuah Busters merupakan permulaan dalam mengimplementasikan tonggak pendidikan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, susulan itu pasukan Rasuah Busters mendukung aspirasi yang digariskan kerajaan untuk membawa kesedaran tentang rasuah dan integriti dalam kalangan pelajar.

Iklan
Iklan
Norhayati

"Program ini mendedahkan pelajar mengenai kesedaran umum, dasar kepada makna integriti, rasuah, senario yang memungkinkan bibit-bibit jenayah itu berlaku dan paling penting adalah peranan setiap individu bagi memastikan rasuah dibanteras di pelbagai peringkat tidak mengira umur, jawatan atau siapapun kita.

"Ia menyelusuri semua kaum dan kebersamaan, komen dan jawapan kepada kes yang diberikan oleh pihak kami diberi perhatian dengan begitu teliti dan mendapat respons sangat positif daripada seluruh peserta," katanya ketika ditemui pada program KPS ACT-i Jelajah Antirasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas, di sini pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, KPS Berhad dan Rasuah Busters meneruskan inisiatif pendidikan antirasuah melalui program KPS ACT-I Jelajah Antirasuah dengan melibatkan lima sekolah terpilih di Lembah Kelang.

Program yang diadakan dari 31 Julai hingga 20 Ogos itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan integriti dan menolak rasuah.

Iklan

SMK Taman Kosas merupakan sekolah kelima yang juga terakhir selepas SMK Seksyen 7, SMK Presint 9 (2), Putrajaya, SMK Seksyen 19 dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam.

Zulkifli

Dalam pada itu, Pengetua SMK Taman Kosas, Zulkifli Che Shukri berkata, program yang disertai lebih 600 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat itu sangat bagus kerana ia memasak integriti dan memberi pemahaman jelas mengenai kesan buruk rasuah.

"Sememangnya kita perlu dedahkan pelajar di peringkat lebih awal seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Jadi program seperti ini memang patut dan wajar diadakan bagi memberi kesedaran kepada mereka tentang pentingnya integriti dan berani menolak rasuah.

"Pada masa yang sama, program ini juga menjadi ilmu tambahan kepada pelajar bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutama untuk subjek Pendidikan Islam dan Moral, selain imbuhan aktiviti dalam kokurikulum.

"Diharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan, mungkin boleh melibatkan pelajar Tingkatan Satu dan Dua pula. SMK Taman Kosas sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan acara bermanfaat buat pelajar dan guru," katanya.

Nur Ardini Sofia

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat, Nur Ardini Sofia Fairul Fahmi berkata, pembentukan watak dan budaya cegah rasuah pada usia muda adalah langkah penting dalam melahirkan generasi yang berani menolak rasuah.

"Kehadiran pihak KPS Berhad dan Rasuah Busters ke sekolah sangat membantu dalam mendidik pelajar lebih berintegriti, jujur dan tulus serta tidak memberikan rasuah kepada sesiapa," ujarnya.

Amir Sofy

Pelajar Tingkatan Tiga, Amir Sofiy Ahmad Amzan pula berpendapat jenayah rasuah sememangnya boleh menghancurkan negara jika tidak dibendung habis-habisan.

Ujarnya, semua individu perlu ada sifat integriti yang tinggi dan elakkan diri daripada memberi atau menerima rasuah kerana ia bukan sahaja merosakkan diri tetapi juga melibatkan orang di sekeliling.

Muhammad Hasif

Seorang lagi pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Hasif Salmi mengatakan program berkenaan merupakan ilmu baharu yang sangat berguna buat semua pelajar.

Jelasnya, ia juga mendedahkan pengajaran kepada pelajar tentang keburukan akibat mengambil rasuah dan cara mengatasinya.

"Program ini mendedahkan mengenai bahaya rasuah kerana jenayah itu bukan hanya melalui pemberian wang. Ia termasuk menipu dan mencuri serta salah guna kuasa dalam aktiviti seharian. Saya dan rakan-rakan gembira kerana boleh menambah ilmu baharu hari ini," katanya.