Mangsa keganasan perlu berani tampil dapatkan bantuan - Nancy

Iklan
Nancy (dua dari kanan) ketika merasmikan Anjung Wanita Bangkit Bersasar di Rumah Perantaraan Kota Kinabalu di Kapayan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau gangguan seksual digesa tampil mendapatkan bantuan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk melibatkan pembunuhan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri melihat golongan wanita dan kanak-kanak terus menjadi sasaran.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun mangsa perlu berani tampil melaporkan agar bantuan dapat diberikan.

"Kita memperkasakan wanita dengan undang-undang mengenai hak-hak mereka, apa yang perlu mereka lakukan, bagaimana dan apakah prosedur yang mereka harus lakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anjung Wanita Bangkit Bersasar di Rumah Perantaraan Kota Kinabalu di Kapayan, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Sinar Harian berhubung wanita dan kanak-kanak menjadi sasaran mudah dalam insiden pembunuhan kejam yang menggemparkan negara sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, beliau juga mahu wanita menyertai program yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk tujuan pemerkasaan wanita.

Iklan

"Selain membuat aduan kepada pihak polis, kami meminta agar wanita mempunyai minat untuk menghadiri program kita atau boleh berhubung dengan kita melalui Talian Kasih di 15999 untuk kaunselor bantu.

"Bukan bermakna bila sudah berlaku keganasan rumah tangga, sudah didera, baru berjumpa dengan kami.

"Bagi mereka tak didera lagi, mereka perlu memperkasakan diri dan berani menjaga dirinya," katanya.

Sementara itu, ditanya peranan KPWKM dalam membantu keluarga yang terkesan dalam kes melibatkan pembunuhan, Nancy berkata, kementerian sentiasa memberi sokongan dari segi kaunseling dalam memulihkan keluarga yang trauma.

"Peranan kita lebih kepada kaunseling, cuma kaunselor kita pun mempunyai keprihatinan juga kalau keluarga itu tidak bersedia untuk disantuni atau kita temu bual untuk kita bantu, jadi kita tunggu sehingga mereka bersedia.

"Kadang-kadang mereka masih bersedih. Tetapi kaunselor sentiasa ada di seluruh negara dan terlatih," katanya.

Mengulas program yang dihadirinya, rumah perantaraan tersebut merupakan yang pertama disediakan Jabatan Penjara kepada bekas penghuni wanita.

"Kita dari Yayasan Kebajikan Negara membantu dalam memberikan peralatan untuk mereka meneruskan kehidupan selepas keluar dari penjara iaitu dari segi sewaan rumah perantaraan ini," katanya.

Seorang penghuni dikenali sebagai Sarah, 28, ketika ditemui berkata, dia mengambil peluang untuk menghuni rumah perantaraan itu sebelum kembali kepada keluarga.

"Selepas keluar dari penjara bulan lalu, saya mahu mengambil masa untuk bertenang. Selepas itu barulah saya kembali kepada keluarga nanti.

"Setakat ini, rumah perantaraan selesa dan saya bersyukur kerana kami diberi penempatan seumpama ini," katanya yang menerima hukuman penjara dua bulan kerana kesalahan menceroboh.