Jangan mudah terperangkap dengan berita tidak sahih

Iklan
Zulkarnain ketika wawancara dalam program di Sinar Live semalam.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah percaya atau menyebarkan berita yang belum ditentukan kesahihannya kerana dibimbangi palsu.

Ketua Pegawai Pematuhan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, antara sebab berita palsu ketika ini tersebar adalah untuk mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang berdasarkan jumlah pengguna media sosial membaca atau menontonnya.

Iklan
Iklan

"Kedua, berita palsu yang direka itu sebenarnya berniat jahat bagi menimbulkan rasa marah, benci dan tidak percaya kepada sesuatu pihak atau individu. Sebab itu jika soalan yang diajukan melalui sebaran itu, adakah ia benar-benar persoalan?

"Ia juga satu bentuk provokasi agar ada respons daripada netizen untuk membalas atau meninggalkan komen. Apabila berbalas komen dalam keadaan marah, kita akan menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya dan menokok tambah perkara tidak benar. Berdasarkan pengalaman kita mengendalikan siasatan, ramai yang terperangkap dalam provokasi sebegini," katanya dalam wawancara dalam Sinar Live di sini semalam.

Iklan

Zulkarnain berkata, terdapat beberapa kes di mana pihak pertama menyebar berita palsu menutup akaun media sosialnya apabila ada laporan dibuat kepada SKMM dan polis, tetapi mereka yang meninggalkan ulasan menyalahi undang-undang akan terperangkap disitu.

"Jangan kita terperangkap dan terjerat dengan berita palsu ini. Sebelum berkongsi, kita kena semak terlebih dahulu.

Iklan

"Masyarakat kita hari ini memang sudah terbiasa dengan bidaya berkongsi sesuatu berita yang belum disahkan kesahihannya. Lebih baik jika ada pertanyaan atau berita tidak benar tersebar, kongsikan kepada pihak berkuasa atau sepatutnya kerana daripada situ kita boleh mendapatkan maklumat tepat,” katanya.

Menurutnya, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia terdapat peruntukan kepada mereka yang menyebarkan unsur lucah, jelik, palsu dan mengancam bakal disiasat serta diambil tindakan.

Beliau bagaimanapun memuji peranan dimainkan Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan penyampaian maklumat berkaitan koronavirus yang dilihat sangat telus.