Tindakan tegas menanti peniaga guna beg plastik, polisterina

Iklan
Arul (kanan) ketika melakukan pemantauan penggunaan beg plastik di sebuah pasar raya pada Selasa.

SEREMBAN - Pemegang lesen perniagaan di Negeri Sembilan yang didapati masih menggunakan plastik sekali guna, polisterina dan penyedut minuman akan dikenakan tindakan kompaun serta- merta oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan
Iklan

Tindakan itu termasuk kepada kedai runcit, restoran, peniaga pasar malam dan penjaja.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, larangan itu telah pun ditambah dalam syarat perniagaan di setiap PBT dan tempoh diberikan untuk tujuan peralihan adalah sudah mencukupi.

Iklan

"Semua PBT telah pun mengeluarkan larangan penggunaannya sejak 5 Oktober 2022, melainkan Majlis Bandaraya Seremban(MBS) sejak April 2021.

"Penguatkuasaan pula mula dilaksanakan oleh semua PBT pada 1 Mei tahun lalu dan MBS pada 1 April 2022. Jadi tempoh peralihan yang diberikan sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan penggunaan beg plastik di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Iklan

Sehubungan itu katanya, PBT tidak lagi menunggu atau teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada pemilik perniagaan yang ingkar akan arahan tersebut.

Malah katanya, lesen perniagaan mereka boleh dibatalkan oleh PBT sekiranya masih tidak mengikut arahan dikeluarkan.

"Kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan dan jika didapati masih ingkar, mereka boleh didakwa di mahkamah.

"Semua PBT telah pun menjalankan kempen kesedaran dan pemakluman yang jelas melalui hebahan di media sosial, bunting, papan iklan dan kaedah-kaedah lain bersesuaian sejak 1 Oktober 2023 sehingga 30 April tahun lalu," katanya.

Selain itu katanya, pemegang lesen perniagaan juga tidak dibenarkan mengenakan caj kepada pelanggan ke atas penyediaan atau pemberian beg plastik jenis biodegradasi yang dibekalkan secara sukarela.

Ujarnya, pengguna boleh membuat aduan kepada PBT untuk tindakan lanjut sekiranya caj dikenakan kepada mereka.

"Pemegang lesen perniagaan yang nak bekalkan juga beg plastik kepada pelanggan hanya boleh menggunakan beg plastik biodegradasi yang mudah terurai, beg kertas, kain atau jaring.

"Bagi larangan bekas makanan jenis polisterina, boleh ganti kan dengan bekas makanan jenis kertas atau bekas plastik LDP dan tidak perlu sediakan penyedut minuman kecuali atas permintaan atau gantikan dari jenis selain plastik," katanya.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini sebanyak 1,152 notis peringatan telah dikeluarkan oleh semua PBT kepada pemilik perniagaan manakala 14 kompaun telah dikeluarkan oleh MBS.