Bunuh isteri, anak: Suspek positif tiga jenis dadah

Iklan
Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya pada Selasa. Foto Bernama

ALOR SETAR - Suspek kes bunuh melibatkan dua beranak yang mayat mereka ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala, di sini pada Isnin disahkan positif tiga jenis dadah.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun itu didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan MOP.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang gelandangan mempunyai tiga orang anak.

"Mereka sekeluarga dipercayai baru sahaja seminggu mendiami bangunan kosong berdekatan lokasi penemuan mayat dua beranak itu.

Iklan

"Sebelum ini mereka tinggal di bawah jambatan berdekatan sini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.

Menurutnya, ketika ditahan seorang lagi anak lelaki suspek berusia lima tahun turut berada bersamanya dan kelihatan trauma.

Iklan

"Kes ini diklasifikasikan sebagai kes domestik iaitu keganasan rumah tangga dan tidak melibatkan sebarang jenayah terancang atau bersiri.

"Polis meminta kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada awam," katanya.

Pada Isnin malam, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang Isnin.

Suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini pada jam 9.05 malam bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat.