GENEVA - Penularan mpox atau cacar monyet yang semakin membimbangkan bukanlah satu lagi Covid-19.
Pengumuman itu dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa ketika ia cuba meredakan rasa khuatir orang ramai berikutan virus itu telah diketahui umum malah cara mengawalnya juga sudah dilaksanakan di kebanyakan negara.
Pengarah WHO di Eropah, Hans Kluge berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan terhadap strain Clade 1b yang telah menyebabkan agensi itu mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) pada minggu lalu.
"Wabak ini boleh dikekang dan mpox bukan Covid-19 baharu," ujarnya sambil menambah langkah pencegahan yang diambil berjaya mengawal wabak itu di Eropah, kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, risiko mpox dalam kalangan populasi umum kekal rendah meskipun banyak negara di luar Afrika sudah mula merekodkan kes virus tersebut.
"Adakah kita akan melaksanakan semula lockdown di rantau Eropah kerana bimbang ia adalah satu lagi Covid-19. Jawapannya sudah tentu tidak sama sekali," tegasnya.
Difahamkan, ia disebarkan melalui kontak kulit ke kulit dan terdapat kemungkinan ia boleh menular melalui titisan air liur individu dijangkiti dengan kontak rapat.
"Cara penularannya masih tidak jelas. Lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan," ujarnya lagi.
Sementara itu, jurucakap WHO, Tarik Jasarevic berkata, agensi tersebut tidak menyarankan penggunaan pelitup muka seperti dikenakan sewaktu pandemik Covid-19.
"Kami juga tidak menggalakkan program vaksinasi secara besar-besaran. Ia hanya diberikan kepada kumpulan paling berisiko," tambahnya.
Pada Julai 2022, tahap amaran sama dikeluarkan WHO susulan penyebaran strain Clade 2b mpox yang menjangkiti golongan homoseksual dan biseksual.
Ia bagaimanapun ditarik balik pada Mei 2023. - AFP