Polis gendut tiada peluang naik pangkat

Iklan
Anggota polis Filipina yang menyertai program menurunkan berat badan anjuran Polis Kebangsaan Filipina. - Foto Newslineph

MANILA - Anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di Filipina tiada peluang untuk menikmati kenaikan pangkat.

Perkara itu diumumkan jurucakap Polis Kebangsaan Filipina (PNP), Brigadier Jeneral Bernard Banac di Manila pada Rabu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 36 peratus anggota polis di negara itu berdepan masalah berat badan berlebihan dan 10 peratus lagi dalam kategori gemuk atau obes.

Tambah Banac lagi, walaupun angka berkenaan tidak membimbangkan, namun PNP mendorong pegawainya untuk mencapai berat badan ideal berdasarkan indeks jisim badan (BMI) mengikut umur dan ketinggian.

Iklan

Ketika ini, terdapat 180,300 anggota polis bertugas di seluruh Filipina.

"Tiada tempoh tertentu untuk anggota mendapatkan berat badan yang ideal. Tetapi mereka harus menunjukkan kesungguhan dan perubahan ketara.

Iklan

"PNP memberi amaran, kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan peluang untuk kenaikan pangkat sukar atau tertutup sama sekali,” katanya.

Awal bulan ini, Ketua PNP, Leftenan Jeneral Archie Gamboa berkata, beliau mahu melihat anggota polis Filipina memiliki tubuh badan yang sihat.

Katanya, memiliki BMI yang ideal merupakan salah satu syarat untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran atau kenaikan pangkat.

Saranan itu disambut oleh Ketua Polis Metro Manila, Mejar Jeneral Debold Sinas yang turut mendaftar diri secara sukarela dalam program menurunkan berat badan. - Agensi