KOTA BELUD - Seorang peniaga durian maut selepas terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah pondok menjual durian di Kampung Polumpung Malangkap, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Latihim Baling kok, 67, ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, menurut penduduk kampung sebelum kejadian, payung gerai di pondok tersebut telah diterbangkan angin dan tersangkut pada kabel elektrik.
Mangsa dikatakan cuba mengambil payung itu namun telah terkena renjatan elektrik sekali gus menjadi punca kebakaran pondok tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.39 petang.
"Menurut laporan, sebuah pondok menjual durian jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
"Seorang wanita warga emas yang juga peniaga durian di pondok tersebut telah terkena renjatan elektrik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Muhammad Syazwan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud oleh orang awam sebelum pasukannya tiba namun dilaporan meninggal dunia..
"Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera.
"Api berjaya dikawal dan operasi ditamatkan pada jam 3.32 petang. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan lanjut," katanya.