TERENGGANU FC (TFC) dituntut untuk memburu gol awal menentang juara Liga Premier Kemboja CPL, Svay Rieng FC dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara 2024/25 di laman sendiri pada Rabu.
Jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner berkata, jaringan awal itu penting bagi menyuntik semangat mereka dalam misi wajib menang lebih-lebih lagi di hadapan penonton sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu.
"Jaringan awal cukup penting bagi meningkatkan motivasi pemain, namun gol awal atau lewat sebenarnya semuanya bagus yang penting kita perlu menang," katanya.
Jurulatih dari Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu turut mengingatkan anak buahnya agar tidak leka sebaliknya mengekalkan fokus sehingga minit terakhir perlawanan.
Beliau berkata, rekod positif pada musim lalu dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menambah lagi semangat anak buahnya untuk beraksi di pentas ASEAN itu.
"Sasaran kami dan kelab adalah untuk menang, pada musim lalu rekod kami dalam saingan Piala AFC cukup bagus biarpun gagal melangkah ke pusingan seterusnya.
"Namun jika mahu melangkah ke peringkat seterusnya pada musim ini kita wajib menang dalam aksi pertama Kumpulan A ini lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri," katanya.
Dalam pada itu, kapten pasukan, Safawi Rasid mengakui rakan sepasukan sudah bersedia untuk berdepan tentangan pasukan lawan, biarpun tidak mengenali dengan lebih dekat corak permainan mereka.
KEJUARAAN KELAB ASIA TENGGARA 2024/25
21 OGOS (RABU)
KUMPULAN A
Terengganu FC lwn Svay Rieng FC
(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)
22 OGOS (KHAMIS)
KUMPULAN B
Kuala Lumpur City lwn Kaya FC Iloilo
(Stdm Bolasepak Kuala Lumpur, 9 malam)