SHAH ALAM - Serangan maut ke atas pekerja bantuan kemanusiaan di seluruh negara meningkat sebanyak 400 peratus dalam tempoh 20 tahun.
Islamic Relief Malaysia (IRM) berkata, sempena Hari Kemanusiaan Sedunia, pihaknya memberi amaran bahawa serangan maut terhadap pekerja bantuan kini berada pada tahap paling tinggi dan terus berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Menurutnya, pada tahun 2023, seramai 280 pekerja bantuan terbunuh berbanding hanya 56 orang pada tahun 2004.
"Setakat ini pada tahun 2024, sekurang-kurangnya 176 orang lagi pekerja bantuan telah terkorban.
"Serangan Israel ke atas Gaza menyumbang lebih separuh daripada jumlah kematian, dengan sekurang-kurangnya 286 pekerja bantuan yang hampir semuanya warga Palestin, terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
"Pekerja bantuan turut menjadi sasaran di negara-negara lain seperti Sudan dan Sudan Selatan, yang termasuk antara lokasi berbahaya untuk mengagihkan bantuan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah IRM, pekerja bantuan turut menjadi sasaran di negara-negara lain seperti Sudan dan Sudan Selatan, yang termasuk antara lokasi berbahaya untuk mengagihkan bantuan.
Jelasnya, sejak perang meletus di Sudan pada April 2023, sekurang-kurangnya 37 pekerja bantuan telah terbunuh.
"Manakala berpuluh-puluh lagi kakitangan telah diserang dan lebih 120 pejabat serta gudang bantuan kemanusiaan telah dirompak oleh kumpulan bersenjata.
"Tahun demi tahun, bilangan orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia semakin meningkat. Justeru, serangan berterusan ke atas pekerja bantuan ini memberi kesan yang sangat buruk terhadap golongan memerlukan tersebut," katanya.
IRM berpendapat, serangan terhadap pekerja bantuan, premis serta aset mereka telah melanggar undang-undang antarabangsa. Namun, semakin jelas bahawa undang-undang ini tidak diendahkan dan penyerang tidak dikenakan sebarang tindakan.
Oleh itu IRM menyeru negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan usaha bagi melindungi petugas kemanusiaan, aset dan premis serta memastikan pelaku serangan dihukum atas sebarang pelanggaran.
"Langkah lebih serius juga perlu diambil untuk melindungi pekerja bantuan tempatan.
"Walaupun serangan ke atas pekerja bantuan antarabangsa seperti pembunuhan kakitangan World Central Kitchen di Gaza pada bulan April mendapat perhatian media dan kecaman global, kebanyakan pekerja bantuan yang dibunuh dan diserang juga adalah kakitangan tempatan yang kurang mendapat perhatian dunia," ujarnya.