Belajar taranum al-Quran bukan ikut musim

Iklan
USTAZ MUADZEEN (empat dari kiri) dam Ustazah Lailasari (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama pemenang Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 1441 Hijrah/2020 Masihi serta tetamu kehormat, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (tengah).

KALAM ALLAH SWT memang sudah sedia indah. Jika dibaca dalam 'lagu' yang cukup menenangkan, ia menerbitkan halwa telinga yang sedap didengar. Malah, ia mampu menghidupkan hati dan mendidik rohani manusia.

Ditambah pula dengan kelunakan suara seorang qari atau qariah mengalunkan kalamullah. Hati sesiapa pun akan tersentuh tatkala mendengarnya. Jiwa pula seolah-olah terbuai dengan bait-bait keindahan lantunan taranum ayat suci al-Quran yang dilontarkan oleh mereka.

Iklan
Iklan

Meskipun ramai yang lancar ketika membaca al-Quran, namun bukan semua orang dianugerahkan kebolehan untuk mengalunkan taranum.

Begitupun, ALLAH SWT mengurniakan bakat itu kepada dua insan terpilih yang ditemui Sinar Islam pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu kota baru-baru ini.

Iklan

Mereka ialah johan qari majlis tilawah berkenaan, Ustaz Muadzeen Ackil dan johan qariah, Ustazah Lailasari Sabran.

Kedua-dua mereka bakal berentap mewakili Wilayah Persekutuan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi yang dijadualkan berlangsung sekitar 13 hingga 21 Februari ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Iklan

Ujar kedua-dua insan hebat itu, bergelar qari dan qariah bukan tugas mudah. Mereka bukan sahaja perlu pandai bertaranum dengan alunan lagu yang sedap dan berstruktur, tetapi juga wajib menjaga dari segi bacaan mereka terutama tajwid, fasahah dan suara.

Kepada Sinar Islam, dua insan yang elok budi pekerti itu senada dengan berkata:"Ini adalah kalam ALLAH dan ilmu-NYA, ia perlu dijaga dengan sebaiknya. Jadi, mohonlah kepada ALLAH agar diberi kemudahan kepada kita setiap kali ingin mengalunkan ayat suci al-Quran."

Dengar kaset

Rentak bicara dimulakan dengan Ustazah Lailasari, 56. Ujar beliau, sebelum menyertai musabaqah, wanita itu akan melazimi dirinya untuk menunaikan solat hajat dan solat sunat taubat memohon kepada ALLAH agar memudahkannya untuk bertaranum.

USTAZAH LAILASARI

"Sebelum naik ke pentas, perlu tenangkan diri. Minum air dan makan gula-gula untuk membuka ruang-ruang suara," ujar beliau sambil menambah yang dirinya akan mengelak untuk makan buah kegemaran, durian apabila menghampiri pertandingan.

Akui guru di Sekolah Rendah Agama Al-Bukhari Segambut Dalam di Kuala Lumpur itu, beliau begitu meminati taranum al-Quran sejak kecil lagi. Namun, beliau hanya berpeluang untuk mempelajarinya secara formal selepas usianya menginjak 40-an.

"Pada zaman 1970-an, tiada kemudahan (guru taranum) seperti hari ini. Tambahan pula, saya duduk di kampung dan tiada pendedahan sangat mengenai perkara itu. Saya kerap mendengar kaset-kaset qari mengalunkan ayat suci al-Quran dan mengumpul berkotak-kotak kaset berkenaan. Setiap kali hendak memasak atau buat kerja apa pun, saya akan pasang kaset itu.

"Apabila saya berpindah ke ibu kota, barulah saya berpeluang untuk mempelajari dan mengikuti kelas taranum oleh agamawan yang mahir dalam bidang ini seperti Ustaz Nik Azizan Al-Farisi.

"Sehingga ke hari ini, saya masih lagi belajar dengan agamawan yang lain. Ya, ilmu ini tak (akan) habis (sampai bila-bila). Saya sedar, ada banyak kelemahan lagi yang perlu dibaiki untuk menambah mutu pembacaan saya," terang beliau.

Berkongsi pengalamannya mempelajari taranum pada usia yang agak lanjut, Ustazah Lailasari bersyukur usahanya telah dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

"Disebabkan taranum itu adalah minat saya, jadi tidaklah susah sangat untuk mempelajarinya. Tambahan pula, banyak kaset-kaset yang mengalunkan bacaan al-Quran saya dengari saban hari. Syukur alhamdulillah ALLAH SWT beri keberkatan ilmu yang saya pelajari.

quot;Saya juga menyertai banyak musabaqah tilawah al-Quran. Walaupun hanya dapat tempat saguhati, tetapi saya tidak berputus-asa mencubanya kerana menganggap ia sebagai proses pembelajaran saya," tambah beliau.

Sebagai individu yang dekat dengan al-Quran, Ustazah Lailasari sering mengamalkan sayyidul istighfar dalam kehidupannya seharian.

"Hendakkan beroleh kejayaan, kita perlu pelbanyakkan istighfar, barulah ALLAH berikan apa yang diminta," jelas beliau yang mengajar al-Quran dari rumah ke rumah dan secara individu.

Kuasai tajwid, fasahah

Apa yang direntas oleh Ustazah Lailasari turut sama dilalui oleh Ustaz Muadzeen, 54. Cuma Imam Ratib di Masjid Muadz bin Jabal itu cukup bertuah apabila berpeluang mempelajari ilmu taranum sejak darjah satu lagi.

USTAZ MUADZEEN

"Ilmu taranum telah diperkenalkan oleh arwah bapa saya. Beliau seorang bilal masjid dan pandai mengaji al-Quran. Sejak kecil lagi, saya memang sudah meminati dan cenderung ke arah al-Quran. Kemudian, saya melanjutkan pengajian taranum di peringkat menengah di Pondok Pesantren, Indonesia.

"Apabila pulang ke Malaysia, saya sambung talaqi dan musyafahah dengan guru yang bersanad seperti Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari dan lain-lain. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi berguru dengan yang mahir dalam bidang ini. Hendak baca al-Quran kena bertalaqi bukan sekadar hanya ingin masuk pertandingan tilawah sahaja, tetapi banyak sebenarnya yang kita perlu pelajari dalam seni taranum dan pembacaan al-Quran," jelas beliau.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah itu turut menguasai tujuh jenis taranum iaitu bayati, hijaz, soba, nahwand, rast, sikah dan jiharkah yang lazimnya digunakan oleh qari di seluruh dunia.

"Pokok pangkalnya, jika ingin mempelajari taranum, perlu menguasai dahulu tajwid, tahsin, fasahah dan suara dengan taranum (lagu). Semua itu akan diaplikasikan dalam bacaan kita. Bukan apa, kita tidak mahu lagu saja sedap, tetapi tajwid dan fasahah pula 'lari'.

"Apa pun, kita kena ingat bahawa membaca al-Quran mestilah secara tartil (bacaan perlahan, tenang dan melafazkan setiap huruf dengan makhraj yang tepat). Dalam mana-mana pertandingan tilawah pun, elemen-elemen itu akan diambil kira," ujar beliau yang turut mengendalikan kelas talaqi al-Quran di Masjid Muadz bin Jabal.

Sepertimana resam seorang qari menjaga pemakanan demi memelihara kelunakan suara, begitulah yang diamalkan oleh Ustaz Muadzeen. Sejak dulu lagi, beliau tidak minum minuman berais atau air daripada peti sejuk.

"Begitu juga dengan makanan. Saya akan makan makanan yang telah dipanaskan (jika ia baru dikeluarkan daripada peti sejuk) dan elakkan makanan berminyak kecuali apabila bertugas menjadi jurunikah pada majlis perkahwinan. Namun, sebolehnya saya akan elakkan," katanya yang turut mengamalkan pengambilan satu sudu madu dengan air suam selepas bangun daripada tidur.

Akhlak al-Quran

Lebih empat dekad mendalami ilmu taranum al-Quran, hidup Ustaz Muadzeen terasa seolah-olah tidak lengkap jika sehari tidak membaca atau mendengar kalam ALLAH berkumandang.

Jelas, filosofi suci beliau ialah 'tiada hari tanpa al-Quran.'

Sesibuk mana pun, bapa kepada seorang cahaya mata itu akan memperuntukkan masanya untuk mendengar bacaan tokoh qari terkenal, Sheikh Mustafa Ismail.

"Kelazatan al-Quran ini apabila kita zauq (rasa) iaitu tahu hukum, makhraj, sifat dan taranum. Apabila kita membacanya, terasa bertambah nikmatnya. Sambil mengajar talaqi di masjid, saya akan turut sama membacanya. Apabila di dalam kenderaan, saya juga akan dengarkan bacaan ayat suci al-Quran," terang beliau.

USTAZ MUADZEEN (depan, tiga dari kiri) mengiuti majlis khatam al-Quran kelas talaqi al-Muadzinin di ibu kota tahun lalu.

Kepada satu soalan, Ustaz Muadzeen berkata:"Sebagai ahli al-Quran, banyak perkara yang perlu dijaga. Bukan sekadar al-Quran sahaja, tetapi juga tingkah laku kita.Tambahan pula, saya begitu 'dekat' dengan masjid, maka lebih ramailah orang perhatikan kita. Jadi, cara berpakaian, pergaulan dan imej kita, semuanya perlu dijaga. Namun, percayalah dengan adanya al-Quran, kalam ALLAH itu akan membimbing kita dan menjadi benteng untuk memelihara diri."

Beliau turut menitipkan pesanan buat anak muda yang ingin berjinak-jinak dengan seni taranum al-Quran. Nasihat beliau, berjumpalah dengan guru untuk mempelajari talaqi bagi mendalami ilmu berkenaan.

"Seperkara lagi, jangan hanya pelajarinya ketika musim musabaqah tilawah saja kerana ia bukan mengikut musim. Ketahuilah bahawa mempelajari cabang ilmu ini memerlukan minat. Paling penting adalah istiqamah dan belajar dengan guru yang bersanad," pesan beliau.

Baik Ustaz Muadzin mahupun Ustazah Lailasari, kedua-dua insan itu membulatkan tekad untuk menyebar luaskan ilmu milik ALLAH SWT itu supaya lebih ramai akan menerima manfaatnya.

'Biarpun 1,000 kali dibaca, kita tak akan jemu'

Umat Islam berada dalam kealpaan sebenarnya andai mukjizat terbesar Rasulullah SAW hanya dibiarkan tidak terusik di rumah kita sehingga berdebu dan berhabuk.

Kitab suci al-Quran tidak sewajarnya hanya menjadi sebahagian perhiasan rumah atau diletakkan bagi mengisi bahagian rak-rak buku kita, sebaliknya ia merupakan wahyu ALLAH yang perlu kita dalami tanpa henti ilmunya, sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

Rasulullah SAW tidak meninggalkan umatnya tanpa sebarang pedoman kerana al-Quran adalah cahaya terang yang bersinar sepanjang zaman dan akan sentiasa dapat dibaca serta dihayati sejak dari zaman Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

Disebabkan itulah kalam ALLAH iaitu al-Quran menjadi mukjizat terbesar berbanding dengan yang lain, demikian kata Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Abd Rauf Hassan.

ABD RAUF

Jelas Abd Rauf, kalamullah itu akan berkekalan sehingga ke akhir zaman sepertimana yang dijanjikan ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan KAMILAH yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

Biarpun 1,000 kali al-Quran dibaca, tambah beliau, kita tidak akan pernah berasa jemu dengannya.

"Begitulah kemuliaan kalam ALLAH ini. Berbanding kita baca ayat dalam surat ataupun akhbar secara berulang-ulang, kita rasa ia seolah-olah sama saja. Namun, apabila membaca ayat ALLAH, tidak terdetik rasa sebegitu.

"Umpamanya, kita membaca Surah al-Fatihah sejak berusia lima tahun dan hingga umur kita 80 tahun pun, kita masih tetap membacanya tanpa jemu. Inilah satu kemuliaan yang ALLAH SWT berikan supaya kita dapat merasakan itulah mukjizat sebenarnya. Bahkan, al-Quran itu dijadikan sebagai panduan untuk kehidupan kita bagi memberikan kebahagiaan di dunia dan di akhirat," kata beliau ketika ditemui Sinar Islam selepas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, jelas Abd Rauf, ada beberapa adab yang perlu dipelihara ketika membaca al-Quran. Ia termasuklah sebelum, semasa dan selepas membaca kalam ALLAH tersebut. Beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang kadangkala alpa memegang al-Quran tanpa berwuduk, sedangkan, ia merupakan perkara asas.

"Bagi orang yang menjual al-Quran, mengemas atau mengangkat al-Quran tanpa wuduk, tindakan itu sebenarnya kurang beradab. Selain itu, bukan sembarangan tempat boleh kita membaca kalamullah ini. Jangan sesekali membacanya di tepi longkang, tepi pasar atau di tempat riuh-rendah.

"Sebaiknya, bacalah (al-Quran) di tempat-tempat yang tenang dan suci serta bersih. Bacalah dalam keadaan kita menutup aurat dan menghadap kiblat," ujar beliau.

Apabila membacanya pula, jelas ahli akademik itu, hayatilah dengan khusyuk dan jangan ada sebarang gangguan. Ini kerana, membaca al-Quran itu ibarat kita bertawasul iaitu berkomunikasi dengan ALLAH.

"Ingatlah bahawa apa yang kita baca itu adalah kata-kata ALLAH. Seperkara lagi, apabila telah selesai membacanya, letakkan al-Quran di tempat yang sepatutnya dan tinggi. Jangan letak di hujung kaki katil," katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.