Mampukah BN teruskan momentum Nenggiri

Iklan
Tidak mustahil episod kejayaan besar BN di Nenggiri akan berulang semula di PRK DUN Mahkota.

SABTU lepas, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Mohd Azmawi Fikri mendapat 9,091 undi dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail (5,739 undi).

Iklan
Iklan

Kemenangan di DUN berkenaan bermakna parti mewakili Kerajaan Perpaduan kini mempunyai tiga kerusi dalam DUN Kelantan, selain di Galas dan Kota Lama.

Kemenangan itu amat bermakna bagi UMNO yang semakin merosot sokongan orang Melayu, termasuk kekalahan di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada PRK sebelumnya.

Iklan

Pemimpin kerajaan terutamanya dalam kalangan ahli UMNO menyifatkan kemenangan bergaya di Nenggiri itu dengan majoriti yang lebih besar sebagai petanda orang Melayu mula kembali ke pangkuan parti itu.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menyifatkan kejayaan di Nenggiri akan menceriakan Perhimpunan Agung UMNO 2024.

Iklan

Jelasnya, kemenangan UMNO/BN di DUN Nenggiri sesuatu yang amat bermakna dan sangat penting.

Ujar Tengku Adnan, parti itu berjaya merampas kembali DUN dalam keadaan sukar, berdepan dengan seteru politik yang banyak menggunakan pendekatan fitnah, memburukkan UMNO/BN dan serangan berbentuk peribadi.

Namun katanya, pendekatan UMNO/BN penuh dengan nilai moral yang berhemah, kesantunan dan tertib dengan berkempen dalam kelompok-kelompok kecil lantas membuahkan hasil.

Daripada sembilan PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, lapan daripadanya menyaksikan status quo iaitu Kuala Terengganu (PN), Simpang Jeram (PH), Pulai (PH), Pelangai (BN), Jepak (GPS), Kemaman (PN), Kuala Kubu Baharu (PH) dan Sungai Bakap (PN).

Persoalannya, apakah kemenangan di Nenggiri mampu memberi momentum kepada BN dan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi PRK DUN Mahkota, Johor?

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mengingatkan kemenangan UMNO di Nenggiri tidak kekal jika parti, pemimpin lalai.

Katanya, UMNO perlu berubah daripada gaya politik dan pemikiran yang tidak lagi relevan di hati rakyat untuk menarik kembali sokongan dan kepercayaan pengundi Melayu.

Nada yang sama turut disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa masih terlalu awal untuk menilai sama ada rakyat sudah kembali terima UMNO jika bersandarkan kepada PRK Nenggiri semata-mata.

Ini kerana DUN Nenggiri adalah kubu kuat BN namun terlepas kepada PN pada PRU15 dengan majoriti tipis.

Bagaimanapun, Johari tidak menafikan bahawa kemenangan Mohd Azmawi Fikri kerusi itu digambarkan berkat kerja keras dan usaha berterusan semua jentera parti.

"Kemenangan satu kerusi itu sebenarnya adalah petanda kalau kita semua bersatu-padu dalam satu parti dan bekerjasama menguatkan parti insya-ALLAH kemenangan akan sampai," katanya.

PRK Nenggiri diadakan selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim dilucut hak sebagai ahli Bersatu selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Dengan kemenangan BN di Nenggiri itu, ditambah keyakinan pemimpin BN bahawa sokongan orang Melayu terhadap mereka semakin bertambah, bersediakah dan mampukah BN berentap di enam kerusi Parlimen sekiranya keputusan dibuat untuk kembalikan kedudukan enam kerusi itu di tangan rakyat? Sama-sama kita nantikan.

* Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur