Ratusan penerbangan tergendala, gara-gara gunting hilang

Iklan
Kementerian berkaitan mengarahkan siasatan lanjut terhadap insiden itu. Foto Agensi

TOKYO - Sebanyak 36 penerbangan terpaksa dibatalkan manakala 201 lagi ditangguhkan di Jepun, gara-gara sebilah gunting hilang di sebuah kedai berhampiran pintu masuk balai pelepasan.

Pemeriksaan keselamatan di terminal domestik Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido terganggu selama kira-kira dua jam hingga menyebabkan ratusan pengembara terkandas ketika insiden pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

"Mereka diminta menjalani semula pemeriksaan keselamatan hingga menyebabkan barisan panjang dan keadaan agak sesak pada masa itu," ujar pengendali di lapangan terbang berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan telah mengarahkan pihak berkenaan melancarkan siasatan lanjut.

Iklan

"Kejadian seperti itu berpotensi mencetuskan panik kerana ia boleh dikaitkan dengan cubaan rampasan pesawat atau keganasan. Kami akan memastikan perkara ini tidak lagi akan berulang pada masa depan," ujar Lapangan Terbang Hokkaido dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial memuji respons segera pihak berkuasa demi memastikan keselamatan pengangkutan udara di Jepun.

Iklan

New Chitose merupakan salah satu daripada lapangan terbang paling sibuk di Tokyo yang menyediakan laluan udara domestik kedua paling kerap dilalui di dunia antara Tokyo dan Sapporo.

Pada 2022, lebih 15 juta pengembara menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut. - Agensi