SELAMA hampir dua minggu (dari 6 hingga 17 Februari 2020), Allahyarham Rozaid Abdul Rahman bersama kami menjelajahi Pulau Jawa.
Kami bermula di Jakarta, kemudiannya ke Bandung, Tasikmalaya, Jogjakarta, Solo, Ponorogo, Kediri dan berakhir di Surabaya. Kami bertujuh sebenarnya, kesemuanya mantan wartawan Utusan Melayu (UM).
Rozaid pada masa itu berkhidmat dengan Star Media Group (SMG) yang memiliki akhbar The Star. Di SMG beliau juga bertanggungjawab membangunkan platform digital bahasa Melayu syarikat berkenaan iaitu mStar serta mengawal selia beberapa penerbitan yang lain.
Sepanjang perjalanan ada kalanya beliau harus membuat semakan kandungan atau bercakap dengan editor melalui telefon. Kami selalu mengingatkan beliau, enjoy the break.
Lupakan kerja. Anggaplah ini cuti. Tetapi Rozaid sebagai Rozaid, mengambil serius amanah yang diberikan kepadanya. Kami faham tanggungjawabnya yang besar ketika itu.
Perjalanan itu lebih menyeronokkan oleh sebab kami berenam yang sudah pencen sepenuhnya, selalu mengusik beliau yang masih bekerja. Perjalanan itu cukup bersejarah dan bermakna bagi kami semua, kenangannya kekal abadi.
Sehingga hari ini kami masih menjadi sebahagian daripada grup WhatsApp yang diwujudkan untuk tujuan pengembaraan itu.
Untuk sebulan dua terakhir ini grup terasa sangat ‘kehilangan’ beliau. Apabila Rozaid dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung, untuk beberapa waktu beliau tidak aktif lagi.
Namun demikian apabila keadaannya lebih baik, beliau muncul semula. Selama lebih sebulan beliau di Pusat Jantung Hospital Serdang. Kami akan mengunjunginya apabila ada kesempatan. Demikian juga teman-teman dari grup WhatsApp UM yang lebih besar.
Tapi kami sedar ini bukan Rozaid yang kami kenal. Beliau kelihatan jauh lebih lemah daripada biasa. Kami dapat membayangkan penanggungannya terlantar begitu, sebahagian besar masanya memerlukan bantuan oksigen.
Bukan sekali Rozaid menghadapi cabaran kesihatan. Sewaktu pandemik Covid-19, beliau dijangkiti wabak itu dan beliau mengalami sindrom Long Covid yang mengambil masa lebih tiga bulan untuk pemulihan. Itu pun menurut beliau sendiri"tidak pulih sepenuhnya”.
Pada ketika itu beliau Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian. Tidak lama kemudian beliau menghadapi masalah slip disc dan terpaksa melalui pembedahan yang mahal. Tidak lama kemudian beliau kembali ke SMG.
Sekali lagi, beliau tidak lama di situ. Beliau dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Dalam situasi kritikal di mana komunikasi selalu menjadi masalah Kerajaan Madani, saya yakin Rozaid adalah pilihan yang tepat. Namun saya menanyakan beliau tentang keadaan kesihatannya.
Berdasarkan skala 1 hingga 10 di manakah beliau sebenarnya. Jawapannya"tidak terlalu tinggi, tapi tidak terlalu rendah.” Saya mengingatkan beliau ini bukanlah tugasan sembarangan.
Apakah beliau mampu mengikut tempo PM? Apakah beliau bersedia bekerja di luar kerangka waktu pejabat? Apakah beliau cukup upaya untuk berada di mana-mana apabila diperlukan? Saya seperti juga teman-teman lain, menyokong sebarang keputusannya.
Saya tahu komitmen Rozaid. Saya menaruh keyakinan dengan adanya beliau di PMO, akan berlaku banyak kemajuan daripada segi pengendalian media dan strategi komunikasi. Semua orang mengakui hal itu.
Saya mengenal beliau lebih 32 tahun. Apabila saya masuk ke UM sebagai Ketua Pengarang pada November 1992, saya berpeluang mengenali beberapa orang wartawan muda yang berpotensi besar.
Di antara mereka adalah Rozaid. Beliau masuk ke UM pada 1984, lapan tahun sebelum saya mula berkhidmat. Tetapi saya dan timbalan saya (Datuk Khalid Mohd) meyakini kemampuan beliau. Kami melantik beliau sebagai Ketua Pemberita dan kemudiannya Pengarang Berita.
Beberapa tahun kemudian Rozaid menemui saya, beliau membuat keputusan untuk meninggalkan UM. Saya tanya mengapa? Beliau mahu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam politik dan mungkin juga terbabit dalam perniagaan.
Saya sedar UM kehilangan banyak wartawan apabila mereka masuk ke dunia politik. Namun saya menasihatkan Rozaid,"Tunggu di sini, saudara punya potensi.” Saya memberitahunya,"You are a Ketua Pengarang material.”
Beliau tetap meninggalkan UM. Seingat saya sebelum itu pun beliau pernah meminta cuti tanpa gaji untuk ‘melihat dunia’ bersama seorang teman.
BERJASA PADA DUNIA KEWARTAWANAN
Hidup Rozaid tidak mudah selepas meninggalkan UM. Beliau pernah terlibat dalam beberapa penerbitan namun kesemuanya tidak kekal. Malah apabila gerakan Reformasi berlaku pada 1998, beliau menjadi salah seorang pemain utamanya.
Saya sendiri terpaksa meninggalkan UM pada April 1998 sebagai sebahagian daripada proses pembersihan ‘orang Anwar’ di media. Datuk Ahmad Nazri Abdullah di Berita Harian dan Yunus Said di TV3 turut mengundurkan diri.
Tidak banyak diketahui apa yang dilakukan oleh Rozaid dalam suasana genting dan mencabar ekoran penyingkiran Anwar ketika itu.
Stigma sebagai ‘orang Anwar’ tidak mudah dikikis.
Rozaid kemudiannya bersama-sama SMG sebelum menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian pada 4 Januari 2021. Saya yakin beliau membantu memberikan dinamisme baharu pada akhbar itu. Beliau meninggalkan Sinar Harian pada 30 Disember 2022.
Beberapa hari sebelum beliau meninggalkan hospital, saya melawatnya sekali lagi. Beliau tetap ceria. Tetapi wajahnya berbaur keraguan.
Beliau nampak lemah dan letih. Di meja kecil di kamar itu terdapat longgokan buku-buku, termasuk beberapa novel karya Pramoedya Ananta Toer. Beliau meminta pandangan saya tentang bagaimana ‘membaca’ Pramoedya.
"Baca dari hujung,” nasihat saya.
Pramoedya bercerita tentang dirinya. Baik Bumi Manusia, Keluarga Gerilya atau Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, novel-novelnya selalu bersifat autobiografikal. Pramoedya adalah tukang cerita terbaik. Tidak kiralah di mana pun mula pembacaan, naratifnya tidak jauh berganjak.
Lagipun itu amalan saya apabila membaca buku, saya selalu membaca dari hujung bagi mengelakkan kebosanan. Saya juga mengingatkan Rozaid tentang kutipan dari novel Bumi Manusia, yang saya percaya amat relevan dengan tugasnya.
"Jangan hanya ya-ya-ya. Tuan terpelajar, bukan yes-man. Kalau tidak sependapat, katakan. Belum tentu kebenaran ada pada pihakku.”
Rozaid meninggalkan kita pada hari Ahad 18 Ogos baru lalu. Bersamanya kenangan istimewa tentang manusia yang banyak berjasa pada dunia kewartawanan.
Secara peribadi terlalu banyak kenangan menarik bersama beliau. Saya tidak pernah menganggap diri saya ‘bos’ kepada Rozaid, tetapi seorang abang yang sentiasa menghargainya.
Al-Fatihah.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah mantan Pengerusi DBP. Beliau adalah Tokoh Wartawan Negara.