PUTRAJAYA - Paracetamol sering digunakan untuk melegakan demam dan sakit-sakit badan ringan oleh masyarakat.
Malah, rata-rata menyimpannya sebagai bekalan di rumah sekiranya diperlukan pada waktu tidak diduga.
Namun, persoalan yang sering ditimbulkan adakah pengambilan ubat tersebut mampu merosakkan badan terutamanya hati dan buah pinggang.
Menurut pegawai perubatan yang popular di media sosial, Dr Ahmad Samhan Awang, risiko penggunaan paracetamol turut dibangkitkan oleh pesakitnya.
"Doktor, betul ke paracetamol boleh rosakkan buah pinggang?"Betul ke ada dalam badan sampai lima tahun?" katanya di platform X.
Menjelaskan perkara itu, Dr Ahmad Samhan berkata, paracetamol tidak merosakkan organ badan jika diambil mengikut dos disarankan doktor.
Beliau yang sering berkongsi nasihat kesihatan di media sosial berkata, dos disarankan bagi dewasa adalah dua biji bagi 500mg setiap enam hingga lapan jam sekali.
Manakala, sirap paracetamol akan diberikan sebanyak 15mg perkilogram berat badan dalam tempoh enam hingga lapan jam sehari.
"Suppositories paracetamol yang dikenali ubat peluru pula digunakan sehingga maksimum 5g sehari atau 30mg per kg setiap enam jam sekali," kata Dr Ahmad Samhan.
Tegasnya, pengambilan dos paracetamol secara berlebihan sehingga 20 biji dalam satu-satu masa boleh menyebabkan kesan toksik.
"Kanak-kanak pula berdepan dengan masalah kerosakan hati jika paracetamol diambil sehingga 200mg/kg dalam satu dos," katanya.
Kesimpulannya beliau berkata, paracetamol lebih selamat digunakan untuk pesakit yang mempunyai masalah pembekuan darah, pesakit gastritis,kanak-kanak dan ibu hamil atau menyusu.
"Diakui juga paracetamol mempunyai kesan sampingan lain seperti alahan, loya dan sebagainya, tetapi ia jarang berlaku.
"Penghidap G6PD perlu dapatkan nasihat doktor sebelum ambil paracetamol," katanya.