ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pada Rabu, mengarahkan sebuah lori dari Singapura yang membawa muatan 216 kotak sayur jenis kubis panjang berpatah balik setelah dikesan mempunyai serangga perosak.
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusoff berkata, lori berkenaan ditahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah, pada Isnin setelah Pegawai Penguatkuasaan Maqis menemukan serangga perosak disyaki dari jenis Phyllotreta spp yang masih hidup.
Justeru katanya, pihak Maqis telah mengarahkan lori berkenaan yang membawa kubis panjang bernilai anggaran RM6,800 itu berpatah balik ke negara asal.
"Perbuatan mengimport apa-apa keluaran pertanian dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu Edie Putra berkata, pihak Maqis akan sentiasa menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, kesemua langkah berkenaan adalah bagi memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal.